
IPOH, 15 Jun – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sedang meneliti mekanisme terbaik bagi menangani isu pendaftaran perkahwinan dalam kalangan pelarian Rohingya di negeri itu selaras dengan perbincangan yang sedang berlangsung di peringkat kebangsaan.
- Perkahwinan pelarian Rohingya tanpa pendaftaran rasmi tidak diiktiraf dari segi perundangan negeri.
- Pelarian mesti mempunyai Dokumen Pengenalan Pelarian (DPP) sebelum perkahwinan boleh dilaksanakan dan didaftarkan.
- Pendaftaran hendaklah dikendalikan oleh pihak berautoriti atau individu diberi kuasa oleh pemerintah agama atau Sultan.
- Kad Perakuan Nikah persatuan Rohingya tular, mencetuskan pertikaian dan persoalan mengenai status serta kesahihan dokumen.
Pengarah JAIPk, Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, usaha itu penting bagi memastikan urusan perkahwinan dalam kalangan komuniti berkenaan dapat diurus secara lebih teratur serta mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau berkata, ketika ini perkahwinan yang dilangsungkan dalam kalangan pelarian Rohingya tanpa pendaftaran rasmi tidak mempunyai pengiktirafan dari sudut perundangan negeri.
Sehubungan itu, katanya, JAIPk bersama Jabatan Agama Islam negeri lain sedang memperhalusi kaedah penyelesaian yang sesuai bagi menangani isu berkenaan.
“Kita sedang ke arah memberikan kebenaran kepada pelarian Rohingya untuk berkahwin sesama mereka dan bukan melibatkan rakyat tempatan.
“Mereka perlu mempunyai Dokumen Pengenalan Pelarian (DPP) sebelum perkahwinan boleh dilaksanakan dan didaftarkan. Pendaftaran pula hendaklah dikendalikan oleh pihak berautoriti atau individu yang diberi kuasa oleh pemerintah agama atau Sultan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri Keempat di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.
Datuk Harith menambah, mekanisme yang sedang diperhalusi itu diharap dapat memberi penyelesaian yang lebih teratur kepada isu perkahwinan komuniti Rohingya tanpa menjejaskan peruntukan undang-undang serta bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai ‘Kad Perakuan Nikah’ yang dikeluarkan Persatuan Ulama Masyarakat Rohingya Malaysia sehingga mencetuskan pelbagai pertikaian dan persoalan dalam kalangan masyarakat berhubung status dan kesahihan dokumen berkenaan.