
IPOH, 15 Jun – Tindakan pembatalan lesen boleh diambil terhadap pemilik perniagaan yang menyewakan lesen atau premis kepada pihak lain termasuk warga asing bagi menjalankan aktiviti perniagaan secara tidak sah.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, terdapat segelintir pemilik premis yang mengambil kesempatan dengan menyewakan ruang perniagaan kepada pihak ketiga berbanding mengusahakan sendiri perniagaan tersebut, sekali gus membuka ruang kepada penyalahgunaan lesen.
Beliau berkata lesen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah khusus kepada pemegang asal dan tidak boleh dipindah milik, disewakan atau digunakan oleh individu lain.
“Bergantung kepada peraturan PBT, apabila lesen perniagaan diberikan kepada individu tempatan, ia tidak boleh disubkan kepada orang lain sama ada tempatan atau bukan tempatan.
“Perbuatan itu adalah satu kesalahan dan tindakan termasuk pembatalan lesen boleh diambil oleh PBT,” katanya kepada pemberita pada Majlis Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Siri Keempat di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.
Tambah Datuk Seri Saarani, penguatkuasaan akan dilaksanakan secara seimbang dengan mengambil kira aspek kemanusiaan, namun pematuhan terhadap undang-undang tidak boleh dikompromi.
Beliau turut mengingatkan bahawa amalan menyewakan lesen kepada pihak lain bukan sahaja melanggar syarat perlesenan, malah boleh menjejaskan integriti sistem kawal selia perniagaan di peringkat PBT.