
KUALA LUMPUR, 15 Jun – Malaysia dan Republik Korea memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan biogas menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Bioeconomy Corporation dan Korea Environment Corporation (K-eco), sekali gus mempercepat agenda peralihan tenaga hijau negara.
- MoU menjadi pemangkin kerjasama komprehensif: perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi, pembangunan kapasiti, penyelidikan dan pelaksanaan projek biogas.
- Korea mengendalikan loji biogas berbilang; Malaysia mempunyai sumber biojisim kukuh berpotensi lebih tiga gigawatt, terutamanya sisa minyak sawit dan pepejal.
- Pembangunan biogas menyokong pengurangan pelepasan karbon, pengeluaran biomethana dan Bio-CNG, serta memperkukuh penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Paris.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Chang Lih Kang berkata, MoU itu menjadi pemangkin kepada kerjasama komprehensif meliputi perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi, pembangunan kapasiti, penyelidikan serta pelaksanaan projek tenaga bio lestari.
Menurut beliau, kolaborasi antarabangsa penting bagi mempercepat penerapan teknologi, merangsang pelaburan dan memperkukuh ekosistem industri alam sekitar negara.
“Republik Korea kini mengendalikan lebih 110 loji biogas dengan pengeluaran melebihi 380 juta meter padu setahun, mencerminkan komitmen tinggi negara itu dalam tenaga boleh diperbaharui.
“Malaysia pula memiliki sumber biojisim yang kukuh dengan potensi bio tenaga melebihi tiga gigawatt, dipacu sisa kilang minyak sawit dan sisa pepejal perbandaran,” katanya ketika berucap pada Bengkel Biogas Ke Arah Neutraliti Karbon di sini, hari ini.
Tambah beliau, kekuatan kedua-dua negara yang saling melengkapi membuka ruang untuk penyelidikan bersama, pembangunan teknologi serta pelaksanaan projek berimpak tinggi.
Dalam masa sama, biogas dilihat berkembang sebagai sumber tenaga bernilai tinggi, termasuk penghasilan biometana sebagai alternatif gas asli, Bio-CNG untuk sektor pengangkutan serta kegunaan industri.
Jelasnya, pembangunan biogas turut menyokong usaha pengurangan pelepasan karbon domestik serta memperkukuh penyertaan Malaysia dalam kerjasama karbon global di bawah Perjanjian Paris.
Bengkel berkenaan menghimpunkan kira-kira 90 peserta terdiri daripada wakil kerajaan, organisasi antarabangsa, institusi penyelidikan dan pemain industri dari Malaysia serta Republik Korea.
Kerjasama ini turut mengetengahkan kejayaan Republik Korea dalam menukar sisa makanan, najis ternakan dan enapcemar kumbahan kepada tenaga boleh diperbaharui melalui teknologi pengurusan sumber yang cekap dan mampan.