Rasionalisasi BUDI95 perkukuh kedudukan fiskal negara

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 28 APRIL – Penetapan kuota rasionalisasi subsidi BUDI95 secara lebih bersasar dilihat mampu memperkukuh kedudukan fiskal negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rasionalisasi kuota BUDI95 harus disasarkan kepada yang benar-benar memerlukan, khususnya B40 dan sebahagian M40.
  • Gunakan sistem PADU untuk mengenal pasti pendapatan bersih isi rumah bagi menentukan kadar subsidi lebih tepat.
  • Hapuskan subsidi kepada golongan T20/T15, salurkan penjimatan kepada B40, M40, dan perbelanjaan kritikal seperti pendidikan serta kesihatan.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, langkah itu penting dengan mengambil kira perkembangan semasa harga minyak mentah dunia yang melebihi 100 dolar Amerika Syarikat setong susulan krisis bekalan global.

Menurut beliau, perkembangan tersebut turut memberi tekanan kepada perbelanjaan subsidi kerajaan yang dianggarkan mencecah sehingga RM6 billion sebulan.

“Berdasarkan data yang dikemukakan oleh kerajaan sejak Oktober tahun lalu, tidak semua pengguna menggunakan kuota sehingga 200 liter. Kebanyakannya, terutamanya pengguna motosikal dan sebagainya, menggunakan di bawah 100 liter sebulan, manakala median penggunaan adalah sekitar 90 liter lebih.

“Sehubungan itu, rasionalisasi subsidi wajar disusun semula agar tidak membebankan kewangan kerajaan, khususnya bagi memastikan golongan yang benar-benar memerlukan terus dibantu. Golongan B40 serta sebahagian besar M40 wajar diberikan subsidi yang lebih bersasar dan selaras dengan tahap pendapatan mereka.

“Dalam hal ini, sistem seperti PADU boleh dimanfaatkan untuk mengenal pasti bukan sahaja pendapatan kasar, malah pendapatan bersih isi rumah. Pendekatan ini dapat membantu kerajaan menentukan kadar subsidi yang lebih tepat bagi setiap isi rumah,” katanya ketika dihubungi RTM, hari ini.

Tambah beliau, bagi golongan berpendapatan tinggi seperti T20, kerajaan boleh mempertimbangkan semula pemberian subsidi memandangkan kemampuan mereka menampung kos bahan api, termasuk penggunaan RON97.

“Sekiranya penjimatan dapat diperoleh melalui langkah penghapusan subsidi kepada golongan T20 dan T15, maka ia boleh disalurkan kepada golongan B40 mahupun M40. Ini sekali gus dapat mewujudkan keseimbangan dalam pemberian subsidi bahan api oleh kerajaan melalui program seperti BUDI MADANI, termasuk skim diesel sedia ada, agar dapat diperhalusi dan disasarkan dengan lebih tepat,” katanya lagi.

Selain mengurangkan ketirisan, pendekatan yang lebih tersasar ini mampu mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan di samping mengurangkan beban fiskal negara.

Penjimatan yang diperoleh berpotensi disalurkan kepada sektor lain yang lebih kritikal, termasuk pembangunan infrastruktur, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan, demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.