
LIEGE, 3 Jun – Republik Demokratik Congo sedia berdepan Chile dalam aksi tanpa penonton bagi menyelamatkan aksi persahabatan pemanas badan Piala Dunia mereka, selepas venue asal di Sepanyol dibatalkan akibat kebimbangan melampau terhadap penularan wabak Ebola.
- Desabre mencadangkan beberapa stadium alternatif dan mempertimbangkan bermain tanpa penonton jika perlu.
- Kem latihan di tanah air dibatalkan akibat penularan wabak; Belgium dipilih sebagai pangkalan latihan alternatif.
- Pasukan mematuhi langkah pencegahan ketat dan garis panduan perubatan FIFA; doktor sentiasa berhubung rapat.
- AS menetapkan kuarantin 21 hari sebelum kemasukan; DR Congo akan berdepan Portugal, Colombia dan Uzbekistan di Piala Dunia.
Cadangan itu dikemukakan oleh ketua jurulatihnya, Sebastien Desabre, susulan tindakan Datuk Bandar La Linea de la Concepcion di Sepanyol, Juan Franco, yang mengeluarkan perintah pembatalan rasmi bagi perlawanan yang sepatutnya berlangsung pada 9 Jun ini atas faktor keselamatan kesihatan.
“Terdapat banyak stadium lain, malah kita mempunyai pilihan untuk bermain tanpa kehadiran penonton. Ada beberapa kemungkinan yang boleh dipertimbangkan.
“Satu-satunya perkara yang boleh saya katakan ialah kami sudah biasa menyesuaikan diri, dan apa sahaja yang berlaku, kami tidak mempunyai masalah untuk menghadapi situasi ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Skuad DR Congo yang layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak penampilan sulung mereka pada edisi 1974 sebagai Zaire terpaksa membatalkan kem latihan di tanah air susulan penularan wabak tersebut di wilayah timur negara itu bulan lepas, dan kini memilih Belgium sebagai pangkalan latihan alternatif.
Desabre, 49, menegaskan bahawa semua langkah pencegahan yang ketat telah pun dipatuhi oleh pasukannya memandangkan majoriti pemain yang dipanggil berpangkalan di Eropah.
“Sudah tentu kami mematuhi segala sekatan dan garis panduan yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melibatkan organisasi perubatan, malah doktor pasukan sentiasa berhubung rapat dengan FIFA,” jelas pengendali kelahiran Perancis itu.
Sebelum ini, pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) pada 22 Mei telah menetapkan syarat ketat bahawa skuad Congo mesti menjalani tempoh pengasingan atau kuarantin selama 21 hari sebelum dibenarkan memasuki negara tersebut bagi saingan Piala Dunia 2026.
Mengikut perancangan, DR Congo yang diundi dalam Kumpulan K bakal membuka kempen menentang Portugal di Houston pada 17 Jun, sebelum terbang ke Guadalajara, Mexico untuk menentang Colombia (24 Jun), dan kembali ke Atlanta untuk bertemu Uzbekistan (28 Jun). – AFP