Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS, kukuh berbanding mata wang lain

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS pada Rabu berikutan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih baik daripada jangkaan dan ketidaktentuan di Asia Barat yang menyebabkan dolar AS terus meningkat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Data ekonomi AS lebih baik daripada jangkaan, menyokong dolar dan mengurangkan kecenderungan Rizab Persekutuan menurunkan kadar faedah.
  • Kebimbangan tentang potensi penutupan Selat Hormuz menjejaskan sentimen pasaran dan risiko terhadap ekonomi global.
  • Secara keseluruhan ringgit mengukuh berbanding beberapa mata wang utama dan serantau, dengan pergerakan bercampur terhadap rakan niaga.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan menyusut kepada 3.9680/9725 berbanding dolar AS daripada 3.9625/9670 semasa ditutup Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit menunjukkan sedikit penyusutan apabila dagangan disambung semula selepas cuti umum dua hari sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong dan Hari Wesak.

“Indeks Dolar AS kekal kukuh apabila sentimen perniagaan di AS semakin baik, dengan indeks sektor pembuatan meningkat kepada 54.0 mata pada Mei daripada 52.7 mata pada April manakala peluang pekerjaan berjumlah 7.618 juta pada April, melebihi anggaran konsensus 6.86 juta.

“Keadaan ini menunjukkan ekonomi AS kekal berdaya tahan walaupun harga bahan api meningkat, menyebabkan Rizab Persekutuan AS dijangka tidak cenderung untuk menurunkan kadar faedah,” kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Beliau berkata walaupun data ekonomi utama AS menyokong mata wang negara maju, kebimbangan mengenai potensi penutupan Selat Hormuz, yang boleh memberi impak kepada ekonomi global, terus memberi kesan kepada sentimen pasaran.

“Oleh itu, ringgit dijangka diniagakan tidak berubah memandangkan pelabur kekal berhati-hati,” katanya.

Di dalam negara, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3378/3438 daripada 5.3447/3527 semasa ditutup Jumaat lepas, mengukuh berbanding euro kepada 4.6112/6164 daripada 4.6323/6392, dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4802/4831 daripada 2.4961/5000 Jumaat lepas.

Pada masa sama, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang serantau.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0990/1028 daripada 3.1151/1201 sebelumnya dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.1346/1546 daripada 12.2083/2338 Jumaat lepas.

Mata wang tempatan tidak banyak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 222.4/222.7 berbanding 222.7/223.2 sebelumnya dan naik berbanding peso Filipina kepada 6.43/6.44 berbanding 6.45/6.46.- BERNAMA

 

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.