Ekosistem semikonduktor kian kukuh, 302 jurutera sertai Taman Reka Bentuk IC

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 28 April – Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Semikonduktor Malaysia mempamerkan momentum kukuh menerusi pengambilan 302 jurutera setakat ini, menghampiri sasaran 400 jurutera yang ditetapkan menjelang akhir tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ekosistem semikonduktor semakin kukuh, mengukuhkan keyakinan Selangor sebagai hab reka bentuk cip dan inovasi.
  • Kebanyakan pengambilan merupakan graduan baharu, menandakan peranan besar ekosistem dalam membangunkan bakat semikonduktor generasi baharu.
  • ASEM dan NSEP, beserta kerjasama dengan IIT Madras, memperkukuh saluran bakat melalui latihan khusus dan program pendidikan.
  • SIDEC menerajui inisiatif sokongan kerajaan, dengan 15 syarikat beroperasi dalam taman merangkumi pusat data, automotif dan aeroangkasa.

Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) menerusi kenyataan memaklumkan, 80 peratus daripada jumlah itu merupakan graduan baharu, mencerminkan peranan besar ekosistem itu dalam membangunkan generasi baharu bakat semikonduktor Malaysia.

“Pencapaian penting ini bukan sekadar kejayaan pengambilan pekerja. Ia menandakan kekuatan ekosistem semikonduktor Malaysia yang semakin kukuh dan keyakinan yang semakin meningkat terhadap Selangor sebagai hab reka bentuk cip termaju dan inovasi.

”Inisiatif ini turut mengukuhkan aspirasi negara untuk beralih daripada pendekatan ‘Buatan Malaysia’ kepada ‘Jenama Malaysia’ melalui pembangunan keupayaan domestik dalam harta intelek, reka bentuk dan teknologi bernilai tinggi,” menurut SIDEC dalam satu kenyataan.

Permintaan bagi bakat semikonduktor kekal tinggi khususnya bagi peranan teknikal seperti jurutera reka bentuk IC.

Akademi Semikonduktor Termaju Malaysia (ASEM) turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh saluran bakat tempatan dengan melatih seramai 360 pelajar.

Selain itu, Program Pendidikan Semikonduktor Kebangsaan (NSEP) kini telah melibatkan 100 pelajar, di samping kerjasama antarabangsa yang terus berkembang melalui inisiatif latihan bersama IIT Madras susulan pemeteraian memorandum persefahaman tahun lalu.

SIDEC merupakan peneraju inisiatif strategik itu dengan sokongan Kementerian Ekonomi dan Kerajaan Negeri Selangor memaklumkan, setakat ini terdapat 15 syarikat beroperasi di taman itu merangkumi sektor seperti pusat data, automotif dan aeroangkasa.