
PUTRAJAYA, 3 Jun – Pementasan teater komuniti ‘The Stories of Sungai Lembing’ berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat menerusi sektor pelancongan, industri kreatif dan perusahaan komuniti.
- Menarik lebih ramai pengunjung ke Sungai Lembing, memberi limpahan ekonomi kepada penduduk melalui pelancongan, perhotelan dan perkhidmatan.
- Memperkasakan sektor pelancongan untuk jana pendapatan komuniti dan mengekalkan mobiliti anak muda di pekan.
- Pembukaan semula panggung wayang bersejarah PCCL sebagai tarikan baharu, mempromosi nilai warisan dan perkembangan ekonomi lampau.
- Pementasan empat siri melibatkan 27 komuniti dan pelakon ternama, menyokong industri kreatif, kraftangan dan pengiktirafan Tapak Warisan perlombongan.
Inisiatif itu dilihat mampu menarik lebih ramai pengunjung ke pekan itu sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.
Jelas Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah, sektor pelancongan kini menjadi antara sumber ekonomi utama yang perlu diperkasakan bagi menjana pendapatan komuniti tempatan di Sungai Lembing.
“Kalau kita dapat memperkasakan ekonomi setempat, mobiliti anak muda yang berada di pekan Sungai Lembing dapat kita pertahankan dan kekalkan mereka di sana supaya kita dapat pastikan struktur sosial di pekan Sungai Lembing terjamin dan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Pementasan Teater Komuniti: ‘The Stories of Sungai Lembing’
Sementara itu, Datuk Mohd Shahar turut menyifatkan pembukaan semula panggung wayang Pahang ‘Consolidated Company Limited’ (PCCL) yang menjadi lokasi pementasan teater tersebut sebagai satu lagi tarikan baharu yang mampu menarik pelancong ke Sungai Lembing.
Jelasnya, bangunan bersejarah itu mempunyai nilai warisan tersendiri selain mencerminkan perkembangan teknologi dan ekonomi yang pernah menjadikan Sungai Lembing antara bandar perlombongan terpenting di negara ini.
Dalam pada itu, pementasan ‘The Stories of Sungai Lembing’ anjuran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) akan berlangsung dalam empat siri bermula 13 Jun hingga 12 September depan di panggung wayang bersejarah PCCL.
Teater berdurasi 60 minit itu menggabungkan elemen dramatik, muzik, visual dan warisan tempatan serta melibatkan penyertaan 27 komuniti setempat bersama pelakon terkenal tanah air termasuk Jalaluddin Hassan dan Neera Azizi.
MBK optimis penganjuran program berkenaan mampu memberi limpahan ekonomi kepada penduduk menerusi sektor pelancongan, perhotelan, makanan, kraftangan dan industri kreatif selain menyokong usaha mengangkat Tapak Warisan Perlombongan Bijih Timah Sungai Lembing ke peringkat antarabangsa.