Platform penerbit agama dicadang, perkukuh industri buku Islam

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Satu platform kerjasama yang menghimpunkan penerbit-penerbit agama di negara ini dicadang diwujudkan bagi memperkukuh industri penerbitan Islam serta meningkatkan impak karya ilmiah kepada masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif selari dengan perkembangan positif penerbitan agama tempatan yang semakin menghasilkan karya berkualiti.
  • Sebuah badan atau majlis kerjasama boleh menyatukan penerbit, memperkukuh jaringan dan menjadi platform perbincangan.
  • Pemerkasaan platform membuka peluang karya tempatan menembusi pasaran Asia Tenggara dan antarabangsa.
  • Langkah ini memperkasakan peranan buku sebagai medium penyebaran ilmu dan pemahaman Islam yang relevan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, inisiatif tersebut dilihat selari dengan perkembangan positif industri penerbitan agama tempatan yang kini semakin pesat dengan penghasilan pelbagai karya berkualiti tinggi.

Menurut beliau, kewujudan sebuah badan atau majlis kerjasama mampu menggabungkan penerbit-penerbit sedia ada bagi memperkukuh jaringan, selain menjadi platform perbincangan dalam mencetuskan gelombang baharu penerbitan buku agama yang lebih berimpak.

“Ketika ini kita melihat kemunculan karya-karya agama yang semakin baik dan banyak, termasuk daripada agensi hal ehwal agama. Justeru, kita ingin mewujudkan satu bentuk kerjasama yang dapat menyatukan penerbit-penerbit ini agar karya yang dihasilkan memberi impak lebih besar kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pavilion Baitul Hikmah MADANI sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Tambah beliau, platform tersebut bukan sahaja berperanan memperkukuh ekosistem penerbitan buku agama dalam negara, malah membuka ruang kepada karya tempatan untuk menembusi pasaran Asia Tenggara dan antarabangsa.

Langkah itu juga dilihat mampu memperkasakan lagi peranan buku sebagai medium penyebaran ilmu dan pemahaman Islam yang lebih luas serta relevan dalam masyarakat masa kini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.