Sambutan Hari IPPTAR 2026 perkasa penguasaan AI masyarakat

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) akan menganjurkan AI Grand Prix 2.0 bersempena sambutan kemuncak Hari IPPTAR 2026 di sini pada 6 Jun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • IPPTAR menyediakan platform latihan untuk melatih masyarakat dan pengamal media menguasai teknologi AI secara holistik.
  • AI berperanan sebagai pemudah cara dan bukan pengganti tugas hakiki wartawan.
  • Ekosistem latihan inklusif IPPTAR termasuk kursus fizikal dan dalam talian, telah memberi manfaat kepada lebih 25,000 peserta.
  • Kerjasama strategik dengan enam institusi tinggi memperkukuh bakat muda dan membantu media tempatan menyesuaikan diri terhadap peralihan pasaran pengiklanan.

Pengarahnya, Datuk Roslan Ariffin berkata, program itu menjadi platform pihaknya dalam melatih masyarakat dan pengamal media menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI) secara holistik.

Jelasnya, ia sekali gus membuktikan komitmen berterusan agensi berkenaan sepanjang 55 tahun penubuhannya dalam meluaskan akses latihan digital kepada orang awam bagi merapatkan jurang kebolehupayaan komuniti serta memacu kreativiti landskap media tempatan.

“Kita memang tidak boleh mengelak daripada ledakan teknologi AI.

“Namun apa yang paling penting untuk difahami ialah AI tidak akan sesekali mampu menggantikan tugas hakiki para wartawan kerana ia hanya bertindak sebagai pemudah cara atau sahabat baik untuk membantu mereka menjadi pengamal media yang lebih hebat,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau berkata, melalui pendekatan baharu itu, IPPTAR giat menyediakan ekosistem latihan yang inklusif merangkumi penyampaian kursus secara fizikal dan aplikasi dalam talian.

“Setakat ini, ia telah berjaya memberi manfaat besar kepada lebih 25,000 peserta daripada pelbagai latar belakang di seluruh negara,” katanya.

Tambah beliau, jalinan kerjasama strategik turut diperkukuh bersama enam institusi pengajian tinggi awam dan swasta sebagai usaha kolektif bagi memastikan kelompok pelapis muda serta warga industri tidak ketinggalan dalam menguasai kemahiran alatan teknologi pintar terkini.

“Langkah progresif ini diyakini mampu menjadi talian hayat utama dalam membantu agensi serta syarikat media tempatan untuk terus bertahan, bersaing, dan bangkit mendepani cabaran ekonomi global yang getir.

“Ini terutamanya akibat peralihan pasaran pengiklanan komersial yang kini semakin dikuasai oleh platform media sosial gergasi,” ujarnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.