Nelly Korda dominasi pusingan pertama Kejohanan LPGA Chevron

Pemain golf wanita Amerika Syarikat, Nelly Korda./foto AFP

HOUSTON, 24 April – Pemain golf wanita Amerika Syarikat, Nelly Korda tampil cemerlang apabila mencatat tujuh bawah par 65 tanpa bogey untuk mendahului dua pukulan selepas pusingan pertama Kejohanan LPGA Chevron di Houston.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nelly Korda, ranking kedua dunia berusia 27 tahun, memburu Chevron kedua dalam tiga musim dan kemenangan kedua musim ini.
  • Dia menutup dengan dua birdie pada tiga lubang terakhir di Memorial Park Golf Course.
  • Korda kata angin kuat terutama di kawasan pokok, jadi perlu lebih fokus pada jarak pukulan.
  • Patty Tavatanakit dan Lee So-mi kongsi tempat kedua dengan 67, Jeeno Thitikul bermula kurang baik dengan 74.

Pemain ranking kedua dunia berusia 27 tahun itu memburu kejuaraan Chevron keduanya dalam tempoh tiga musim serta kemenangan kedua musim ini, dengan menutup aksi dengan dua birdie pada tiga lubang terakhir di Memorial Park Golf Course.

“Angin kadang-kadang agak kuat, terutama di kawasan pokok. Jadi saya perlu lebih fokus pada jarak pukulan.

“Secara keseluruhan, saya rasa permainan saya sangat baik hari ini,” kata Nelly Korda.

Beliau yang juga juara edisi 2024 kini mendahului pemain Thailand, Patty Tavatanakit dan pemain Korea Selatan, Lee So-mi, yang berkongsi kedudukan kedua dengan catatan 67 pukulan.

Sementara itu, wakil Liu Yan dari China, Yuri Yoshida (Jepun), Pauline Roussin-Bouchard (Perancis) serta pemain amatur Amerika Syarikat berusia 20 tahun, Farah O’Keefe berkongsi tempat keempat dengan 68 pukulan.

Patty, yang pernah memenangi kejohanan ini pada 2021 ketika dikenali sebagai ANA Inspiration, turut mencatat permainan tanpa bogey dengan lima birdie.

“Saya cuba menikmati permainan dan tidak mengejar kesempurnaan. Tugas saya adalah memasukkan bola ke lubang secepat mungkin,” katanya.

Lee pula menyifatkan peningkatan mental dan latihan tambahan pada bahagian putting membantu persembahannya walaupun melakukan satu bogey di penghujung pusingan.

Dalam pada itu, pemain nombor satu Thailand, Jeeno Thitikul, yang memburu gelaran major pertama, bermula kurang baik dengan catatan 74 pukulan. – AFP