1,000 peserta awal Heritage Ride Taiping terima tiket zoo percuma

Foto RTM

PETALING JAYA, 30 Julai – Seramai 1,000 peserta terawal yang mendaftar secara dalam talian bagi program The Heritage Ride Taiping 2026 bakal menerima tiket percuma ke Zoo Taiping & Night Safari.

RINGKASAN BERITA AI
  • Edisi ketiga acara perkenal kelainan selaras tema warisan, memberi nilai tambah kepada peserta.
  • Peserta dibawa melalui lokasi ikonik seperti Maxwell Hill, Stesen Lama Taiping, Muzium Perak dan Taman Tasik Taiping.
  • Gabungan sukan, warisan dan pelancongan menawarkan pengalaman berbasikal sambil menghayati sejarah bandar Taiping; acara dijadual 25 Oktober di Bandar Warisan Taiping.

Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh berkata, inisiatif itu merupakan antara kelainan yang diperkenalkan bagi edisi ketiga penganjuran acara berkenaan, selaras dengan tema warisan yang diketengahkan.

Menurut beliau, pendekatan tersebut bukan sahaja memberi nilai tambah kepada peserta, malah membuka peluang untuk mereka menikmati keunikan serta tarikan Bandar Warisan Taiping.

“Seribu peserta pertama akan diberikan satu tiket percuma untuk melawati Zoo Taiping & Night Safari,” katanya pada sidang media The Heritage Ride Taiping 2026, hari ini.

Selain itu, peserta turut dibawa melalui beberapa lokasi ikonik seperti Maxwell Hill, Old Taiping Station, Muzium Perak dan Taman Tasik Taiping.

Jelas Wong, laluan yang dirancang bukan sekadar menawarkan pengalaman berbasikal, malah memberi peluang kepada peserta menghayati sejarah serta keindahan bandar Taiping sebagai salah satu destinasi warisan negara.

The Heritage Ride Taiping 2026 yang menggabungkan elemen sukan, warisan dan pelancongan dijadual berlangsung pada 25 Oktober ini di Bandar Warisan Taiping.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.