Lebih 200,000 rakyat Australia didenda kerana gagal mengundi pada pilihan raya 2025

Rakyat Australia beratur untuk mengundi di sebuah pusat mengundi/Foto REUTERS

CANBERRA, 30 Julai – Lebih 200,000 rakyat Australia yang gagal menunaikan kewajipan mengundi pada pilihan raya umum 2025 telah membayar denda, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Australia (AEC), lapor Xinhua.

RINGKASAN BERITA AI
  • AEC mengeluarkan notis kegagalan mengundi kepada kira-kira 1.3 juta individu berhubung pilihan raya 2025.
  • 250,000 mengemukakan alasan munasabah; 710,000 tidak memberi maklum balas, berdepan denda sehingga A$330 jika kes ke mahkamah.
  • Mengundi wajib bagi warga Australia 18 ke atas; AEC anggar kadar keluar mengundi 90.7 peratus, meningkat dari 89.8 peratus 2022.

AEC memaklumkan kepada Australian Broadcasting Corporation (ABC) pada Khamis bahawa pihaknya mengeluarkan notis kegagalan mengundi kepada kira-kira 1.3 juta individu berhubung pilihan raya 2025.

Daripada jumlah itu, seramai 207,000 individu membayar denda pentadbiran sebanyak A$20 (US$13.90) setakat Mei, melibatkan jumlah kutipan mencecah A$4.14 juta (US$2.9 juta).

Menurut AEC, seramai 250,000 individu lagi mengemukakan alasan yang sah dan munasabah kerana tidak mengundi, manakala 710,000 individu lagi yang gagal memberi maklum balas terhadap notis berkenaan sebelum tarikh akhir bakal berdepan denda sehingga A$330 (US$229.50) sekiranya kes dibawa ke mahkamah.

“Seperti semua perkara yang melibatkan tindakan undang-undang, kami akan mempertimbangkan beberapa faktor sebelum memulakan sebarang tindakan,” menurut AEC.

Mengundi dalam pilihan raya adalah wajib bagi semua warganegara Australia berumur 18 tahun ke atas.

AEC menganggarkan kadar keluar mengundi pada pilihan raya 2025 adalah sebanyak 90.7 peratus, meningkat sedikit berbanding 89.8 peratus pada 2022.
– BERNAMA-XINHUA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.