1,647 perumahan sakit, terbengkalai dipulihkan

Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR, 30 Julai Sebanyak 1,647 projek perumahan sakit dan terbengkalai berjaya dipulihkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM150 bilion sejak 2022 hingga kini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memberi kelegaan kepada hampir 200,000 pembeli rumah yang terancam kerugian akibat projek tidak siap
  • Pemulihan hasil usaha Pasukan Petugas Khas KPKT bersama pemaju dan agensi berkaitan
  • Reformasi termasuk HIMS, e-SPA dan Audited Housing Development Account bagi menghapuskan projek terbengkalai menjelang 2030
  • KPKT dan PBT berjaya mengurangkan lokasi berisiko banjir, mewartakan lebih 130 kawasan bebas banjir

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, kejayaan itu sekali gus memberi kelegaan kepada hampir 200,000 pembeli rumah yang sebelum ini berdepan risiko kerugian akibat projek yang tidak disiapkan mengikut jadual.

Pencapaian tersebut adalah hasil komitmen teguh Pasukan Petugas Khas KPKT, bersama pemaju serta agensi berkaitan dalam menyelaras usaha pemulihan projek.

“Usaha ini akan diteruskan menerusi pelbagai reformasi dalam sektor perumahan yang sedang dilaksanakan kerajaan. Antaranya ialah pengenalan Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (HIMS), Perjanjian Jual Beli Elektronik (e-SPA) serta Audited Housing Development Account.

“Saya yakin kementerian telah menetapkan visi yang jelas, iaitu menjelang tahun 2030 Malaysia tidak lagi berdepan isu projek perumahan terbengkalai. Saya percaya melalui sistem ini serta transformasi digital yang dilaksanakan bersama pemain industri, kita dapat memastikan tiada lagi keluarga yang terpaksa menanggung kesusahan akibat projek perumahan yang terbengkalai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan Antarabangsa ke-25 (ARCHIDEX 2026) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di ibu negara, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Nga memaklumkan KPKT bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) berjaya mengurangkan 10 peratus lokasi berisiko banjir di seluruh negara.

Daripada 1,280 lokasi berisiko banjir yang dikenal pasti sebelum ini, sebanyak lebih 130 kawasan kini diisytiharkan bebas banjir hasil pelaksanaan pelbagai langkah mitigasi.

Usaha itu akan diteruskan secara berterusan dengan sasaran menjadikan Malaysia, khususnya kawasan bandar, bebas daripada masalah banjir.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.