
BATU GAJAH, 30 Julai – Perak terus menarik pelaburan berteknologi tinggi menerusi kemasukan syarikat semikonduktor dari Korea Selatan, K-Test Malaysia, yang membangunkan kemudahan baharunya di Batu Gajah dengan nilai pelaburan kira-kira RM213 juta.
Pelaburan itu dijangka mewujudkan kira-kira 100 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan apabila projek berkenaan siap pada suku pertama tahun depan.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee, berkata keputusan K-Test Malaysia memilih Perak menunjukkan keyakinan pelabur asing terhadap keupayaan negeri itu membangunkan industri semikonduktor.
“Kami juga mempunyai beberapa syarikat penting yang terdapat di Perak khususnya di Ipoh. Di sekitar Ipoh yang tidak diketahui ramai, mereka memilih Perak adalah kerana salah satunya tenaga sumber manusia di sini adalah lebih stabil. Jadi kadar pertukaran pekerja di sini juga lebih rendah”, katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pecah Tanah K-Test Malaysia Perak Plant di Batu Gajah, Ipoh.
K-Test Malaysia menjalankan perkhidmatan ujian semikonduktor untuk industri pembuatan cip, sekali gus menyokong perkembangan rantaian bekalan teknologi global.