
KUALA LUMPUR, 30 Julai – Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang bakal ditandatangani pada hujung tahun ini menjadi pemangkin kepada usaha mencapai sasaran nilai ekonomi digital ASEAN sebanyak AS$2 trilion menjelang 2030.
- DEFA akan memperkukuh daya saing ASEAN dan mewujudkan persekitaran mesra perniagaan.
- DEFA sebagai lebuh raya digital memecahkan birokrasi fizikal dan mengurangkan halangan bukan tarif antara negara anggota.
- Penyelarasan kerangka perundangan digital kurangkan fragmentasi pasaran, tingkatkan kecekapan, kos efektif dan daya saing global.
- Harmonisasi pembayaran digital rentas sempadan sokong e-payments dan transaksi QR, kurangkan kos transaksi serta percepat aliran tunai perniagaan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Sim Tze Tzin berkata, perjanjian itu juga akan memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai rantau yang berdaya saing dan mesra perniagaan.
“Perjanjian itu dijangka ditandatangani pada penghujung tahun ini. Matlamatnya adalah untuk menjadikan ASEAN sebagai rantau yang lebih berdaya saing dan kondusif bagi perniagaan, sekali gus mencapai sasaran nilai ekonomi digital serantau sebanyak AS$2 trilion menjelang tahun 2030.
“DEFA ibarat ‘lebuh raya digital’ yang akan memecahkan tembok birokrasi fizikal serta mengurangkan halangan bukan tarif (NTBs) antara negara anggota ASEAN.
“Melalui penyelarasan kerangka perundangan digital ini, kita dapat mengurangkan fragmentasi pasaran dan menjadikan ASEAN sebagai sebuah blok ekonomi digital tunggal yang lebih cekap, lebih kos efektif serta lebih berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Ng Keng Heng berkenaan inisiatif Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) membantu memudahkan urusan perdagangan rentas sempadan ASEAN.
DEFA turut menekankan komitmen ASEAN terhadap usaha memudah cara urusan perdagangan menerusi beberapa aspek utama.
Antaranya Harmonisasi Sistem Pembayaran Digital Rentas Sempadan yang menyokong integrasi sistem pembayaran elektronik (e-payments) dan transaksi QR rentas sempadan yang lebih lancar.
Peniaga dan pengguna tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pertukaran mata wang fizikal atau sistem perbankan tradisional yang lambat. Pada masa sama dapat mengurangkan kos transaksi dan mempercepat aliran tunai perniagaan.