Bursa Malaysia teliti insentif galak penyertaan MyValue Up

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Bursa Malaysia Bhd sedang mempertimbang pemberian insentif bagi menggalakkan penyertaan lebih meluas dalam Program MyValue Up, sebagai usaha meningkatkan penciptaan nilai jangka panjang dalam kalangan syarikat tersenarai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bursa menekankan keutamaan memastikan syarikat menunjukkan komitmen sebenar terhadap pelan penciptaan nilai jangka panjang.
  • Program MyValue Up sukarela dilancarkan 20 April dan menerima sambutan menggalakkan daripada syarikat tersenarai serta pelabur institusi.
  • Syarikat dijangka mengemukakan pelan penciptaan nilai menjelang akhir tahun, dan pendedahan awal tahun depan beri pelabur gambaran jelas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Fad’l Mohamed berkata, walaupun bentuk insentif masih dinilai, keutamaan Bursa Malaysia adalah memastikan syarikat yang menyertai program itu menunjukkan komitmen sebenar terhadap pelan penciptaan nilai jangka panjang.

“Ya, kami sedang menilai jenis insentif yang berpotensi untuk ditawarkan. Namun bagi kami, keutamaan tetap diberikan untuk memastikan syarikat menunjukkan komitmen sebenar terhadap pelan penciptaan nilai jangka panjang ini dan tidak semata-mata tertumpu kepada insentif,” katanya.

Beliau berkata, program sukarela yang dilancarkan pada 20 April lalu itu menerima sambutan menggalakkan daripada syarikat tersenarai awam (PLC) dan pelabur institusi.

Menurutnya, syarikat yang menyertai program berkenaan dijangka mula mengemukakan pelan penciptaan nilai jangka panjang masing-masing menjelang akhir tahun ini.

“Program ini membantu syarikat menjelaskan pelan penciptaan nilai jangka panjang mereka dengan lebih baik, meningkatkan penglibatan pelabur dan memberikan pelabur gambaran lebih jelas mengenai strategi jangka panjang mereka,” ujarnya.

Program MyValue Up bertujuan meningkatkan pengiktirafan pasaran terhadap prestasi korporat serta menggalakkan penciptaan nilai dalam kalangan syarikat tersenarai, terutama syarikat yang mempunyai permodalan pasaran melebihi RM4 bilion.

Bursa Malaysia turut menjangkakan program itu menerima momentum lebih baik mulai awal tahun depan apabila pelan penciptaan nilai yang dikemukakan syarikat didedahkan kepada umum, sekali gus membolehkan pelabur menilai strategi jangka panjang mereka.

Bursa Malaysia akan terus mengadakan libat urus dengan syarikat tersenarai yang dikenal pasti serta menggalakkan penyertaan secara sukarela dalam program berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.