
CHERAS, 4 Oktober – Akses kepada saringan kesihatan wanita, khususnya dalam kalangan golongan B40 terus diperluas bagi menggalakkan pengesanan awal kanser payudara serta meningkatkan peluang mendapatkan rawatan pada peringkat awal.
- Parlimen Bandar Tun Razak dan LPPKN menganjurkan Karnival Kesihatan MADANI memberi tumpuan kepada kesihatan wanita secara menyeluruh.
- Jabatan Registri Kanser Kebangsaan melaporkan kes kanser payudara meningkat lebih 38% dalam 14 tahun; seorang daripada 23 wanita berisiko.
- Program WCare menyasarkan 32,000 wanita untuk ujian DNA HPV dan subsidi mamogram kepada isi rumah berpendapatan RM10,000 ke bawah.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, usaha itu penting bagi memastikan tiada komuniti tercicir daripada mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2026, Parlimen Bandar Tun Razak mengadakan kerjasama strategik dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi menganjurkan Karnival Kesihatan MADANI yang memberi tumpuan kepada kesihatan wanita secara menyeluruh.
“Karnival Kesihatan MADANI ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada kanser payudara, malah merangkumi aspek kesihatan wanita secara menyeluruh.
“LPPKN menyediakan kemudahan mamogram secara bersubsidi dan percuma kepada golongan B40.
“Bagi golongan yang berkemampuan pula, kita akan berusaha mencari jalan untuk menggalakkan lebih ramai wanita mendapatkan saringan kesihatan secara berkala,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Kesihatan MADANI Parlimen Bandar Tun Razak, di sini.
Menurut laporan Jabatan Registri Kanser Kebangsaan, kes kanser payudara meningkat lebih 38 peratus dalam tempoh 14 tahun, dengan seorang daripada setiap 23 wanita di Malaysia berisiko menghidap penyakit berkenaan.
Sehubungan itu, usaha memperluas akses kepada saringan dilihat penting bagi membolehkan kanser dapat dikesan lebih awal, sekali gus meningkatkan peluang mendapatkan rawatan pada peringkat awal.
Inisiatif berkenaan juga selari dengan usaha Kerajaan MADANI melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan LPPKN melalui program Saringan Kanser Reproduktif Wanita (WCare).
Menerusi program itu, seramai 32,000 wanita disasarkan menjalani ujian DNA Human Papillomavirus (HPV), selain menyediakan subsidi mamogram percuma kepada wanita daripada isi rumah berpendapatan RM10,000 ke bawah.
Beliau berharap, pendekatan membawa perkhidmatan saringan lebih dekat kepada komuniti dapat membantu lebih ramai wanita mengambil langkah proaktif untuk mengetahui status kesihatan masing-masing serta mendapatkan rawatan sewajarnya sekiranya diperlukan.
Terdahulu, Datuk Seri Dr Wan Azizah menziarah keluarga pegawai bomba, Mohd Firdaus Ibrahim yang mempunyai anak berusia tujuh bulan, Nur Farisha Sofia Ramadhani yang menghidap ‘omphalocele major’, iaitu kecacatan kongenital yang menyebabkan usus terkeluar melalui dinding abdomen.