Pinjaman baharu kerajaan turun kepada RM75.6 bilion pada 2025

Gambar hiasan / RTM

KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Defisit fiskal negara berjaya dikurangkan secara konsisten kepada 3.7 peratus pada 2025 berbanding 5.5 peratus pada 2022, selaras usaha konsolidasi dan pembaharuan fiskal kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pinjaman baharu Kerajaan Persekutuan menurun kepada RM75.6 bilion pada 2025, daripada RM100.3 bilion pada 2022.
  • Kerajaan kekal berdisiplin fiskal dengan pengoptimuman perbelanjaan, pengukuhan hasil, kecekapan kutipan dan penyasaran subsidi bagi menyokong golongan rentan.
  • Tunggakan bayaran balik RM8.084 bilion; ABT LHDNM melibatkan RM23.145 bilion dalam proses perundangan dan RM16.842 bilion dalam kutipan.

Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata perkembangan itu turut menyaksikan pinjaman baharu Kerajaan Persekutuan berkurang kepada RM75.6 bilion pada 2025 berbanding RM100.3 bilion pada 2022.

Beliau berkata langkah berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan memperkukuh disiplin fiskal, selain memperlahankan pertumbuhan hutang Kerajaan Persekutuan daripada 10.2 peratus pada 2022 kepada 5.9 peratus pada 2025.

“Sehingga akhir 2025, hutang Kerajaan Persekutuan telah mencatat sebanyak RM1,320.8 bilion atau 65.2% daripada KDNK berbanding 64.5% KDNK pada akhir 2024.

“Dalam memastikan hutang sentiasa berada pada paras yang terurus, Kerajaan kekal berdisiplin dan patuh kepada semua had statutori hutang yang ditetapkan di bawah perundangan berkaitan hutang,” katanya ketika sesi penggulungan usul laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 mengenai penyata kewangan kerajaan persekutuan tahun 2025 dan aktiviti kementerian/ jabatan kerajaan Persekutuan di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah beliau, kerajaan akan terus memperkukuh kedudukan fiskal dengan mengoptimumkan perbelanjaan awam, pengukuhan asas hasil, peningkatan kecekapan kutipan serta usaha mengurangkan ketirisan hasil.

Menurut beliau, langkah berkenaan turut melibatkan penyasaran subsidi diesel dan RON95 bagi membolehkan penjimatan disalurkan kepada program yang menyokong golongan rentan, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Dalam pada itu, beliau berkata jumlah bayaran balik pinjaman Kerajaan Persekutuan yang tertunggak setakat 31 Disember 2025 ialah RM8.084 bilion, merangkumi RM5.709 bilion tunggakan pokok dan RM2.375 bilion tunggakan faedah serta faedah lewat.

Sementara itu, Jabatan Audit Negara turut membangkitkan isu pengurusan Akaun Belum Terima (ABT) hasil oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Daripada keseluruhan baki ABT LHDNM, sebanyak RM23.145 bilion atau 57.88 peratus melibatkan kes dalam proses perundangan, penangguhan dan rayuan, manakala RM16.842 bilion atau 42.11 peratus merupakan kes yang sedang aktif dalam tindakan pemungutan dan ansuran.

Beliau berkata setiap teguran dan syor yang dibangkitkan dalam LKAN 2/2026 akan diberi perhatian serius bagi memastikan pengurusan kewangan negara terus cekap, telus dan berakauntabiliti.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.