21,391 bakat dilatih selaras NSS

Pembangunan bakat tempatan seiring dengan keperluan industri

KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Sektor semikonduktor Malaysia telah melatih 21,391 bakat tempatan setakat Jun 2026, menerusi pelbagai program pembangunan melibatkan institusi pengajian tinggi dan penyedia latihan teknikal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan sasarkan 60,000 tenaga kerja berkemahiran tinggi sektor semikonduktor menjelang 2030 selaras Strategi Semikonduktor Nasional.
  • Pembangunan bakat berkemahiran tinggi penting untuk menyokong peralihan Malaysia ke aktiviti semikonduktor bernilai lebih tinggi.
  • Program latihan melibatkan IPT dan penyedia latihan teknikal tingkat kebolehpasaran graduan serta seiring keperluan industri.
  • Peralihan daripada "Made in Malaysia" kepada "Made by Malaysia" bagi membina teknologi, IP, reka bentuk cip dan syarikat teknologi tempatan kompetitif.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan, usaha berkenaan merupakan sebahagian sasaran kerajaan untuk membangunkan 60,000 tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor tersebut menjelang 2030, selaras Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

Menerusi jawapan bertulis di Parlimen, MITI memaklumkan pembangunan bakat berkemahiran tinggi penting bagi memastikan ketersediaan tenaga kerja yang mampu menyokong peralihan Malaysia kepada aktiviti semikonduktor bernilai lebih tinggi.

“Usaha itu bertujuan memastikan pembangunan bakat tempatan seiring dengan keperluan industri, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperkukuh keupayaan syarikat tempatan menguasai teknologi dan membangunkan harta intelek (IP) sendiri,” jelasnya.

Kementerian menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengenai rancangan kerajaan untuk meningkatkan keupayaan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global dan memperkukuh keupayaan kendiri menerusi aktiviti bernilai tambah lebih tinggi, termasuk pemilikan IP, reka bentuk cip, peralatan dan syarikat teknologi tempatan.

MITI berkata kerajaan komited memperkukuh keupayaan strategik negara dalam ekosistem semikonduktor global menerusi NSS, dengan beralih daripada pendekatan “Made in Malaysia” kepada “Made by Malaysia”.

Peralihan itu bertujuan memastikan Malaysia bukan sekadar lokasi pengeluaran, tetapi turut memiliki teknologi, kepakaran dan IP serta syarikat teknologi tempatan yang berdaya saing di peringkat global.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.