Kutipan hasil cukai naik 9 peratus kepada RM129.6 bilion

Liew Chin Tong / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Kutipan hasil cukai negara meningkat 9 peratus kepada RM129.6 bilion pada separuh pertama 2026, berbanding RM119.1 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan kutipan disumbang oleh cukai pendapatan syarikat dan SST, khususnya sektor makanan dan minuman, perkhidmatan, insurans serta logistik.
  • Kerajaan komited mencapai sasaran hasil tahunan dan mengekalkan SST sambil menyerap elemen baik GST untuk elak kesan bertindih.
  • Pertumbuhan ekonomi stabil, lebihan dagangan besar dan reformasi percukaian bersasar menyokong keberkesanan kutipan serta keyakinan pelabur dan daya saing negara.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, peningkatan itu disumbangkan beberapa faktor antaranya kutipan cukai pendapatan syarikat yang lebih tinggi serta cukai jualan dan perkhidmatan (SST), khususnya daripada sektor makanan dan minuman, perkhidmatan, insurans serta logistik.

“Kerajaan komited untuk mencapai sasaran kutipan hasil cukai bagi keseluruhan tahun 2026 berjumlah RM343.1 bilion.

“Pertumbuhan ekonomi makro yang stabil dijangka terus menyokong peningkatan kutipan hasil negara,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, ekonomi Malaysia berkembang 5.7 peratus pada separuh pertama 2026 selepas mencatat pertumbuhan 5.4 peratus pada suku pertama dan 6 peratus pada suku kedua.

Prestasi itu disokong oleh permintaan domestik, eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang menggalakkan serta pertumbuhan sektor perkhidmatan dan pembuatan.

“Malaysia turut merekodkan lebihan dagangan RM84 bilion, meningkat 449.2 peratus berbanding tempoh sama pada 2025,” katanya.

Jelasnya lagi, reformasi percukaian yang bersasar turut berperanan memastikan mekanisme kutipan hasil lebih berkesan, selain menyokong keyakinan pelabur, kestabilan ekonomi dan daya saing negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Liew mengulangi pendirian kerajaan untuk terus melaksanakan SST, disamping menyerap elemen yang baik daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Langkah itu bagi memastikan tiada kesan bertindih atau berganda dalam sistem percukaian negara.

Beliau berkata, kerajaan kekal dengan SST kerana sistem berkenaan lebih mudah difahami selain mempunyai sejarah pelaksanaan lebih 50 tahun.

Pada masa sama, reformasi percukaian bersasar terus dilaksanakan bagi memastikan mekanisme kutipan hasil lebih berkesan, selain menyokong keyakinan pelabur, kestabilan ekonomi dan daya saing negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.