
KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Seramai 160,000 pembayar cukai yang kini dikecualikan daripada kewajipan melaksanakan e-Invois boleh memilih sama ada mahu meneruskan penggunaannya atau sebaliknya.
- Pembayar cukai yang dikecualikan boleh memilih sama ada meneruskan penggunaan e-Invois atau tidak.
- e-Invois bukan alat untuk menambah kutipan cukai, tetapi untuk memperkemas sistem percukaian.
- Kerajaan akan kurangkan beban dan perkukuh daya tahan PMKS, termasuk langkah dalam Belanjawan akan datang.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, pilihan itu susulan perubahan dasar yang menaikkan ambang pelaksanaan e-Invois daripada pendapatan tahunan RM1 juta kepada RM3 juta.
“Sistem e-Invois bukan untuk menambah cukai. Seramai 1.1 juta pembayar cukai daripada kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan jualan tahunan RM3 juta dan ke bawah dikecualikan daripada pelaksanaannya,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli di Dewan Rakyat.
Menurut Liew lagi, e-Invois bukan instrumen untuk meningkatkan kutipan cukai, sebaliknya sebahagian daripada usaha memperkemas sistem percukaian.
Dalam pada itu, beliau mengakui PMKS berdepan pelbagai cabaran termasuk dari segi pematuhan dan birokrasi.
Kerajaan, katanya, akan terus berusaha mengurangkan beban PMKS serta memperkukuh daya tahan sektor itu dalam menghadapi perubahan landskap perniagaan selepas pandemik COVID-19.
“Antara cabaran yang diberi perhatian termasuk peralihan daripada operasi kedai fizikal kepada perniagaan dalam talian serta persaingan daripada perniagaan luar negara,” jelasnya.
Kerajaan juga dijangka mengemukakan langkah bagi mengurangkan beban dan meningkatkan ketahanan PMKS menerusi Belanjawan akan datang.