
KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) memperkenalkan dua inisiatif baharu bagi memperkukuh ekosistem pembiayaan berasaskan harta intelek (IP).
- Pembiayaan Penilaian IP RM1 juta untuk menampung kos penilaian profesional, menyasarkan sekurang-kurangnya 50 PKS dan syarikat permulaan.
- Modul Penilaian Harta Intelek pertama di Malaysia bagi melatih dan mengiktiraf penilai IP bertauliah tempatan, meningkatkan keyakinan institusi kewangan.
- Inisiatif itu menyokong sasaran RMK-13 dan MyIPO NEXTGEN 2025-2030 untuk mengkomersialkan R&D dan menyumbang pertumbuhan ekonomi.
Dana berkenaan ialah Pembiayaan Penilaian IP bernilai RM1 juta dan Modul Penilaian Harta Intelek pertama di Malaysia.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata dana rintis sebanyak RM1 juta itu menyasarkan sekurang-kurangnya 50 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula, khususnya bagi membantu menampung kos penilaian IP secara profesional.
Beliau berkata penilaian berkenaan membolehkan aset tidak ketara milik usahawan dinilai secara rasmi, sekali gus meningkatkan keupayaan syarikat menggunakan IP sebagai aset dalam mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan.
“Kita mulakan peruntukan RM1 juta kepada syarikat-syarikat tempatan yang berkelayakan, yang kemungkinan sebelum ini tidak mempunyai keupayaan untuk membuat penilaian IP yang kosnya agak tinggi.
“Jadi, kita bantu menerusi dana pembiayaan ini yang akan ditadbir urus oleh MyIPO,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan majlis penutupan Persidangan dan Pameran Kebangsaan Pengkomersialan Harta Intelek (IP CONFEX) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Ujar beliau, inisiatif itu penting terutama kepada PKS berasaskan teknologi yang mempunyai aset IP bernilai tetapi sukar mendapatkan pinjaman kerana tidak memiliki cagaran fizikal tradisional seperti tanah atau bangunan.
Dalam pada itu, beliau berkata KPDN dan MyIPO turut memperkenalkan Modul Penilaian Harta Intelek pertama di Malaysia bagi melatih serta mengiktiraf tenaga pakar penilai IP tempatan yang bertauliah.
Katanya, kewujudan lebih ramai penilai IP bertauliah dapat membantu meningkatkan keyakinan institusi kewangan terhadap nilai aset tidak ketara, selain berpotensi mengurangkan kos penilaian pada masa hadapan.
“Apabila semakin ramai penilai IP yang bertauliah, dan usaha ini mendapat kerjasama serta sokongan pelbagai pihak termasuk institusi kewangan, insya-Allah kita yakin kos berkenaan akan semakin berkurangan.
“Maka, syarikat-syarikat ini tidak akan bergantung lagi kepada dana kerajaan untuk membuat penilaian IP,” katanya.
Armizan berkata kerajaan sebelum ini turut memulakan projek rintis pembiayaan berteraskan IP bernilai RM10 juta dengan kerjasama Pembiayaan Pembangunan Perindustrian Malaysia Berhad (MIDF) dan Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO), yang membolehkan IP digunakan sebagai cagaran secara terus untuk mendapatkan pembiayaan.
Beliau berkata kedua-dua inisiatif terbaharu itu menyokong sasaran Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) serta Pelan Transformasi Strategik MyIPO NEXTGEN 2025-2030 bagi memastikan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan tidak terhenti di peringkat kajian, sebaliknya dapat dikomersialkan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
IP CONFEX 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam menghimpunkan lebih 500 peserta serta menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) antara MyIPO dengan pelbagai agensi tempatan dan antarabangsa.