IPU tidak sihat, jejas aktiviti di Johor

Reaksi orang ramai / Foto RTM

JOHOR BAHRU, 7 Oktober – Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Larkin, Johor Bahru merekodkan paras 171 sehingga pukul 4 petang tadi, meletakkan kawasan itu dalam kategori tidak sihat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jerebu menjejaskan aktiviti harian orang awam dan peniaga serta mengurangkan jumlah pelanggan ke premis perniagaan.
  • Kebimbangan kesihatan meningkat, terutama bagi kanak-kanak bawah dua tahun dan pekerja yang banyak berada di luar.
  • Orang awam disaran berjaga jaga, kurangkan aktiviti luar, pakai pelitup muka dan pastikan minum air mencukupi.

Sekali gus, situasi jerebu yang melanda Johor turut memberi kesan kepada aktiviti harian orang awam dan peniaga, khususnya dari segi kesihatan serta jumlah pelanggan.

Tinjauan RTM mendapati keadaan jerebu menyebabkan sebahagian peniaga dan orang awam perlu menyesuaikan aktiviti harian susulan keadaan udara yang tidak sihat.

Menurut Pensyarah Kolej, Nur Shahirah Zulkarnain, keadaan jerebu yang berterusan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang awam, khususnya mereka yang mempunyai anak kecil.

“Ya, bagi saya memang mengganggu sebab kita bekerja setiap hari. Saya juga mempunyai anak kecil berusia bawah dua tahun, jadi keadaan pengudaraan yang tidak baik ini sememangnya berisiko kepada anak dan diri kita sendiri.

“Antara langkah yang perlu kita ambil ialah sentiasa berjaga jaga dan mengurangkan aktiviti di luar. Kalau perlu berada di luar, pakailah pelitup muka dan pastikan kesihatan dijaga dengan baik, termasuk minum air yang mencukupi,” katanya.

Sementara itu, jurutera sektor swasta, Umar Razak berkata, keadaan jerebu turut dirasai mereka yang bekerja di kawasan terbuka dan perlu melakukan aktiviti di luar premis.

“Disebabkan kerja saya banyak berada di luar, memang dapat dilihat keadaan jerebu sekarang. Namun, dari segi kesihatan, setakat ini saya tidak mengalami sebarang kesan yang ketara.

“Sepatutnya, ketika keadaan seperti ini, kita kurangkan aktiviti atau keluar dari kawasan terbuka jika tidak diperlukan,” katanya.

Bagi peniaga, Aminuddin Jumat, keadaan jerebu dan cuaca panas turut memberi kesan kepada jumlah pelanggan yang berkunjung ke premis perniagaan.

“Dengan cuaca yang panas dan keadaan jerebu seperti ini, kita memang perlu lebih menjaga kesihatan. Ada masanya jumlah pelanggan berkurangan kerana keadaan kurang menggalakkan dan mereka mungkin memilih untuk tidak keluar bagi mengelakkan masalah kesihatan,” katanya.

Keadaan jerebu perlu diberi perhatian orang awam dengan langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengurangkan risiko terhadap kesihatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.