
TELOK MAS, 4 Oktober – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengemukakan permohonan peruntukan Belanjawan 2027 bagi memperkasa sektor perikanan serta meningkatkan keupayaan nelayan.
- Fokus kepada pembangunan prasarana, projek unjam tukun tiruan serta penambahbaikan kebajikan dan insentif kepada nelayan.
- Unit kejuruteraan diarahkan menilai kebolehlaksanaan projek pemecah ombak di Telok Mas.
- LKIM membina jeti di Telok Mas tahun lepas dan akan membina bangsal nelayan tahun ini.
- Meningkatkan kapasiti akuakultur, melaksanakan projek penurunan unjam, sesi libat urus, dan agihan kit makanan kepada nelayan B40.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, tahun lepas LKIM telah menerima peruntukan keseluruhan RM140 juta dan berharap peruntukan yang diterima menerusi Belanjawan 2027 melebihi jumlah tersebut.
Katanya, antara perkara yang diberi perhatian termasuk pembangunan prasarana, projek unjam atau tukun tiruan, serta penambahbaikan kebajikan dan insentif kepada nelayan.
“Kita banyak melaksanakan pembangunan bagi meningkatkan keupayaan nelayan, terutamanya dalam memperkasa sektor akuakultur serta menyediakan kemudahan ekonomi dan prasarana seperti jeti, unjam dan perumahan untuk kebajikan mereka.
“Sudah semestinya, insentif-insentif sedia ada seperti elaun sara hidup, insentif tangkapan ikan dan juga subsidi minyak turut diberikan,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Sesi Libat Urus (SLU) Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Telok Mas, Melaka di Pengkalan Nelayan Tanjung Nibong.
Dalam pada itu, beliau berkata LKIM akan menilai kebolehlaksanaan projek pemecah ombak di Telok Mas bagi meningkatkan prasarana nelayan di kawasan berkenaan.
Jelasnya, beliau telah mengarahkan pihak kejuruteraan di ibu pejabat LKIM untuk turun segera ke kawasan itu bagi menilai kebolehlaksanaan projek berkenaan serta peruntukan yang diperlukan.
LKIM sebelum ini membina sebuah jeti bernilai RM800,000 di Telok Mas pada tahun lepas, manakala bangsal nelayan bernilai RM400,000 akan dibina tahun ini.
Tambahnya, bagi meningkatkan hasil tangkapan ikan di Melaka, LKIM akan meningkatkan kapasiti sektor akuakultur, selain melaksanakan projek penurunan unjam bagi menambah lokasi pembiakan ikan di perairan negeri itu.
Pada majlis berkenaan, beliau berkata SLU itu memberi peluang sepenuhnya kepada komuniti nelayan Telok Mas untuk mengetengahkan permasalahan semasa, menyuarakan isu-isu teknikal di laut, serta mengemukakan cadangan penambahbaikan yang membina.
Pada majlis itu, kira-kira 60 orang nelayan kategori B40 turut menerima kit makanan bagi meringankan beban mereka.