
SEREMBAN, 4 Oktober – Lebih 30 agensi kerajaan turun padang bagi menawarkan pelbagai perkhidmatan secara langsung kepada masyarakat menerusi Program MADANI Kita (PMK) di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Paroi, di sini.
- Program menjadi platform mendekatkan perkhidmatan kerajaan dengan komuniti di peringkat akar umbi.
- Diadakan pertukaran topi keledar dan al-Quran secara percuma untuk manfaat masyarakat.
- Aktiviti termasuk Jualan Rahmah, Jualan AgroTani, saringan kesihatan, promosi MyDigital ID dan Kempen Internet Selamat.
- Program mengeratkan hubungan kerajaan dan masyarakat serta memastikan inisiatif kerajaan dapat dinikmati komuniti setempat.
Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Pengarah Penerangan Negeri Sembilan, Mohd Sabri Abdullah berkata, program berkenaan menjadi platform mendekatkan perkhidmatan kerajaan dengan komuniti di peringkat akar umbi.
“Pada hari ini juga, kita mengadakan program pertukaran topi keledar secara percuma. Selain daripada itu, kita juga mengadakan pertukaran al-Quran secara percuma,” katanya ketika ditemui media pada program berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Kanan (Pengurusan) JAPEN, Kazidi Mohd Zainuddin ketika berucap mewakili Ketua Pengarah JAPEN berkata, pendekatan membawa perkhidmatan kerajaan secara terus kepada masyarakat penting bagi memastikan manfaat inisiatif kerajaan dapat dinikmati oleh komuniti setempat.
“PMK ini bukan sekadar penyampaian perkhidmatan, tetapi menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara kerajaan dengan masyarakat.
“Masyarakat sebagai pendukung dan penyokong Kerajaan MADANI adalah sangat-sangat dihargai, dan sebab itulah kita berpandangan sesuai sangat program berunsurkan kemasyarakatan dibawa terus kepada tuan-tuan dan puan-puan,” katanya.
Bersempena program itu, turut diadakan Jualan Rahmah, Jualan AgroTani, saringan kesihatan, promosi MyDigital ID dan Kempen Internet Selamat, selain penyediaan kaunter perkhidmatan interaktif oleh pelbagai agensi kerajaan.
Penganjuran program berkenaan diharap dapat memperkukuh hubungan antara kerajaan dengan masyarakat, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat.