Pasaran getah ditutup bercampur-campur

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Khamis, disokong oleh kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan bekalan di negara pengeluar utama, Thailand akibat ramalan cuaca buruk, kata peniaga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hujan lebat di kawasan pengeluaran Thailand menjejaskan aktiviti menoreh dan mengurangkan bekalan getah jangka pendek, menyokong niaga hadapan serantau.
  • Kenaikan mendadak harga minyak mentah akibat ketegangan Asia Barat menyemarakkan kebimbangan gangguan bekalan, menyokong sentimen pasaran komoditi.
  • Sentimen berhati-hati susulan keputusan Fed mengekalkan kadar faedah, mengekalkan jangkaan kadar tinggi untuk tempoh lebih lama.
  • Pada 3 petang, SMR20 naik 3.5 sen kepada 878.5 sen/kg manakala susu getah pukal turun lima sen kepada 696.5 sen/kg.

Beliau berkata hujan lebat di kawasan pengeluaran getah di Thailand telah menjejaskan aktiviti menoreh dan mengurangkan bekalan bahan mentah dalam jangka pendek, memberikan sokongan kepada niaga hadapan getah serantau.

Katanya sentimen pasaran turut disokong oleh kenaikan mendadak harga minyak mentah dalam ketegangan meningkat di Asia Barat.

“Harga minyak mentah melonjak kira-kira tujuh peratus berikutan serangan udara yang meningkat di Asia Barat, mewujudkan kebimbangan mengenai potensi gangguan bekalan dan menyokong sentimen di pasaran komoditi,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, katanya kenaikan dikekang oleh sentimen berhati-hati susulan keputusan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat untuk mengekalkan kadar faedah tidak berubah dalam ketidaktentuan ekonomi global.

“Fed mengekalkan kadar faedah yang menjadi penanda aras tidak berubah pada 3.50 peratus-3.75 peratus, mengekalkan pendirian yang menyokong kadar faedah tinggi dan memperkukuh jangkaan kadar faedah tinggi untuk tempoh lebih lama,” katanya.

Pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) naik 3.5 sen kepada 878.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal menurun lima sen kepada 696.5 sen sekilogram. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.