Diserang anjing liar : Mangsa perlu suntikan antirabies tiga minggu

Azuar Firdaus Zuraiman menunjukkan perkembangan positif selepas pembedahan / Foto RTM

KOTA BHARU, 4 Oktober – Kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang cedera parah selepas diserang sekumpulan anjing liar di Pantai Kemasin, Khamis lalu, kini perlu menjalani suntikan antirabies selama tiga minggu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menjalani pembedahan kira-kira lima jam di HRPZII; perlu antibiotik selama tiga minggu; tarikh keluar wad masih belum ditentukan.
  • Keadaan pesakit semakin menunjukkan perkembangan positif; sudah mula berkomunikasi dan menceritakan semula detik serangan selepas trauma.
  • Ibu berharap pihak berkuasa ambil tindakan atasi masalah anjing liar; JPN Kelantan sudah melawat dan menawarkan bantuan pembelajaran.

Ibunya, Rosnani Mat Salleh, 46 tahun berkata, anaknya, Azuar Firdaus Zuraiman, selesai menjalani pembedahan selama kira-kira lima jam di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), semalam.

Menurutnya, suntikan antirabies itu penting berikutan kecederaan akibat gigitan anjing yang agak dalam, terutama di bahagian kepala dan leher.

“Pembedahan telah dilakukan untuk cuci luka dari pukul 1 hingga 5 petang baru siap. Lepas tu dia (pihak hospital) maklumkan, suntikan antibiotik juga perlu diambil selama tiga minggu dan belum dapat dipastikan bila dibenarkan keluar dari wad,” katanya ketika ditemui di HRPZII, hari ini.

Rosnani berkata, keadaan anak kelapan daripada sembilan beradik itu semakin menunjukkan perkembangan positif selepas sebelum ini hanya berdiam diri selama dua hari akibat trauma dengan kejadian berkenaan.

Katanya, Azuar kini sudah mula berkomunikasi dan mampu menceritakan semula detik ketika diserang.

Beliau pada masa sama berharap tindakan segera diambil pihak berkuasa bagi menangani masalah anjing liar di kawasan berkenaan supaya kejadian sama tidak berulang.

Sementara itu, Azuar yang juga murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Tawang menerima kunjungan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Norazan Mat Nor serta Guru Besar sekolah berkenaan, Mohamed Fhadhil Hassan.

Norazan berkata, kunjungan itu sebagai tanda keprihatinan terhadap kejadian yang menimpa murid berkenaan selain mewakili Pengarah JPN Kelantan, Siti Norina Muhamad.

Katanya, JPN Kelantan sedia memberikan bantuan yang diperlukan sekiranya Azuar memerlukannya, terutama berkaitan pembelajaran.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi Khamis lalu, Azuar diserang sekumpulan anjing ketika bermain pasir bersama lima saudaranya di kawasan pantai berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.