Lelaki OKU mental disyaki bunuh abang kandung direman tujuh hari

Polis dan forensik di lokasi kejadian / Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 4 Oktober – Polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun yang disyaki membunuh abang kandungnya dalam pergaduhan keluarga di Kampung Banggol Tasek, Marang, pagi semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di muka dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul.
  • Seorang adik perempuan turut cedera ketika cuba meleraikan pergaduhan; CT tunjuk luka belakang kepala, patah ibu jari kanan, kecederaan limpa kiri.
  • Suspek mempunyai rawatan mental susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan dipercayai lama memendam rasa tidak puas hati terhadap mangsa.
  • Suspek direman tujuh hari bagi membolehkan siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa berusia 43 tahun maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di muka, dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul.

Seorang lagi adik perempuan mangsa, 36 tahun, turut cedera ketika cuba meleraikan pergaduhan berkenaan.

Menurut Datuk Mohd Khairi, adik mangsa mengalami luka di bahagian belakang kepala, patah ibu jari kanan serta kecederaan ringan pada limpa sebelah kiri berdasarkan hasil imbasan tomografi berkomputer (CT).

Katanya, empat individu yang berada di dalam rumah ketika kejadian turut dipercayai menjadi saksi.

“Siasatan awal mendapati suspek yang mempunyai rawatan mental susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah dipercayai tidak berpuas hati dengan mangsa.

“Suspek ditahan di tepi Jalan Bandar Bukit Payong. Pasukan forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu turut hadir ke lokasi dan beberapa barang kes dirampas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai telah lama memendam rasa tidak puas hati terhadap mangsa, yang dikatakan mempunyai rekod kes narkotik dan sering meminta wang daripada keluarga.

Bagaimanapun, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Suspek direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Kuala Terengganu, Yuhanis Mohd Roslan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pagi tadi bagi membolehkan siasatan lanjutan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.