Pelajar dibunuh : Keluarga harap pelaku dijatuhkan hukuman setimpal

Datuk mangsa, Khyar Abas, 69 tahun dan ibu saudara Irene, Siti Nur Faezah Za / Foto RTM

BATU PAHAT, 4 Oktober – Keluarga Irene Sofiya Mohd Khairul Faisal, 16 tahun, berharap siasatan menyeluruh dijalankan dan hukuman setimpal dikenakan terhadap individu yang bertanggungjawab menyebabkan kematian pelajar itu, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Irene seorang cucu baik, dijaga sejak umur sembilan, terakhir dilihat bersiap pergi kelas tambahan.
  • Jenazah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail untuk bedah siasat, dijangka disembahyangkan dan dikebumikan di Parit Abas.
  • Mangsa ditemui tidak sedarkan diri berlumuran darah di dewan sekolah selepas tidak pulang; beberapa kecederaan di kepala dan badan.
  • Polis tahan seorang remaja 16 tahun, reman enam hari bawah Seksyen 302; barangan dirampas, motif masih dalam siasatan.

Datuk mangsa, Khyar Abas, 69 tahun berkata, Irene merupakan cucu yang baik dan tidak pernah menyusahkan keluarga sejak dijaganya ketika berusia sembilan tahun.

Menurutnya, kali terakhir beliau bersama Irene adalah semalam selepas cucunya memaklumkan bahawa dia bersiap untuk menghadiri kelas tambahan.

“Saya tidak menduga perkara ini berlaku kepada cucu saya kerana kawan-kawan dan guru-gurunya sejak sekolah rendah hingga menengah mengatakan dia tidak menyusahkan.

“Bila saya jumpa dia dalam keadaan tragis, saya tidak dapat menggambarkan perasaan itu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Parit Selamat, Yong Peng, di sini, hari ini.

Saudara-mara dan rakan sekolah Irene turut hadir menziarahi keluarga.

Sementara itu, ibu saudara Irene yang juga seorang guru, Siti Nur Faezah Za berkata, arwah pernah menyuarakan hasrat untuk menjadi doktor apabila dewasa seperti arwah ibunya.

“Arwah pernah tanya, mak long rasa Ya (Irene) sesuai jadi doktor apa? Saya cakap, kalau ikut mak long, Ya patut jadi doktor sakit puan, sebab tak ramai pakar perempuan,” katanya.

Katanya, Irene juga sering menjadikannya sebagai rujukan terutama bagi subjek Biologi, selain pernah menyatakan minat untuk menjadi doktor pakar sakit puan selain pakar kesihatan awam.

Setakat petang ini, jenazah Irene masih berada di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk menjalani bedah siasat.

Jenazah dijangka dibawa ke rumah keluarga untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Abas.

Dalam kejadian semalam, Irene ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sebuah dewan sekolah di Yong Peng selepas tidak pulang ke rumah.

Polis menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam kira-kira pukul 5.50 petang sebelum menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di sekitar Yong Peng kira-kira pukul 7 malam.

Suspek kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, mangsa mengalami beberapa kecederaan di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sepasang pakaian dan sepasang selipar bagi membantu siasatan, manakala motif dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.