RCI jadi pemangkin perkukuh tadbir urus, pulih keyakinan pendeposit Tabung Haji

Lembaga Tabung Haji

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) dijangka menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh tadbir urus institusi itu, sekali gus memulihkan keyakinan pendeposit terhadap pengurusan dana haji negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendedahan RCI mendedahkan kelemahan pengurusan terdahulu dan menjadi asas bagi penambahbaikan menyeluruh dalam tadbir urus TH.
  • Laporan boleh dijadikan rujukan untuk memperkemas proses membuat keputusan serta memperkukuh mekanisme pemantauan dalaman.
  • Kedudukan kewangan semakin stabil memberi ruang memperkukuh strategi pelaburan jangka panjang tanpa mengabaikan pengurusan risiko berhemat.
  • Penilaian semula Peruntukan Aset Strategik dapat meningkatkan pulangan dan memulihkan keyakinan pendeposit terhadap ketelusan serta integriti TH.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pendedahan dan dapatan siasatan melalui RCI mampu memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai kelemahan dalam pengurusan terdahulu serta menjadi asas kepada penambahbaikan menyeluruh.

“Laporan itu boleh dijadikan rujukan oleh pengurusan TH untuk memperkemas proses membuat keputusan, memperkukuh mekanisme pemantauan dalaman serta merangka strategi pelaburan yang lebih tersusun, telus dan berhemah,” katanya kepada pemberita RTM.

Beliau berkata, usaha tersebut mencerminkan komitmen pengurusan semasa untuk mengimbangi aspek risiko dan pulangan, selaras dengan fungsi TH sebagai institusi kewangan yang mengurus simpanan umat Islam bagi tujuan menunaikan ibadah haji.

Dalam masa sama, katanya, kedudukan kewangan yang semakin stabil turut memberi ruang kepada TH untuk memperkukuh strategi pelaburan jangka panjang tanpa mengabaikan prinsip pengurusan risiko yang berhemat.

“Kedudukan kewangan Tabung Haji yang semakin kukuh membolehkan institusi itu mengorak langkah lebih baik dalam pengurusan pelaburan, termasuk menilai semula Peruntukan Aset Strategik (SAA) bagi meningkatkan profil pulangan dan memberi manfaat secara langsung kepada pendeposit,” katanya.

Langkah berkenaan bukan sahaja berpotensi meningkatkan pulangan kepada pendeposit, malah dijangka mengukuhkan semula keyakinan umat Islam terhadap keupayaan TH mengurus dana simpanan mereka secara lebih telus, mampan dan berintegriti.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.