Malaysia sedia bantu negara ASEAN dilanda bencana

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan kenyataan negara pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) Ke-14.

JAKARTA, 25 November – Malaysia bersedia membantu negara anggota ASEAN yang dilanda bencana termasuk menyokong usaha menggerakkan misi bantuan kemanusiaan secara bersama ke luar rantau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia bersedia membantu negara ASEAN yang dilanda bencana melalui misi kemanusiaan bersama, berdasarkan keperluan dan kemampuan serta menghormati kedaulatan negara.
  • Latihan bersama perlu menguji perkongsian maklumat, permohonan bantuan dan penyelarasan penyaluran bantuan, manakala amaran awal mesti disusuli tindakan yang dipersetujui.
  • Malaysia menyokong pengukuhan kerjasama serantau, kesiapsiagaan dan penyelarasan bantuan melalui kerjasama dengan negara ASEAN, Sekretariat ASEAN dan Pusat AHA.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, misi berkenaan boleh dilaksanakan atas permintaan negara terjejas berdasarkan keperluan di lapangan dan kemampuan ASEAN, selain menghormati kedaulatan negara serta prinsip kemanusiaan.

Ketika menyampaikan kenyataan negara pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) Ke-14 di sini, beliau turut memaklumkan latihan bersama perlu dimanfaatkan bagi menguji mekanisme perkongsian maklumat, permohonan bantuan serta penyelarasan penyaluran bantuan kepada komuniti terjejas.

“Dalam mesyuarat itu, saya turut menegaskan bahawa setiap amaran awal mesti disusuli tindakan yang telah dipersetujui sebelum bencana melanda.

“Pada saat amaran dikeluarkan, agensi yang terlibat mesti sudah tahu bila pemindahan perlu dimulakan, siapa yang menyediakan pengangkutan dan membuka pusat pemindahan serta bagaimana dana kecemasan dapat digerakkan segera,” katanya.

Tambah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, di Malaysia usaha berkenaan dilaksanakan menerusi pembangunan Strategi Pengurangan Risiko Bencana Negeri di bawah Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030.

“Kerajaan Persekutuan turut bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan risiko setempat diambil kira dalam perancangan pembangunan, reka bentuk infrastruktur serta perlindungan perkhidmatan asas.

“Malaysia juga menyokong pengukuhan kerjasama AMMDM Plus bersama Australia, Kanada, Kesatuan Eropah, India dan New Zealand menerusi komitmen pelaksanaan yang lebih jelas, termasuk latihan teknikal, perkongsian kepakaran dan pemindahan teknologi,” jelas beliau.


Selain itu, Malaysia menyatakan hasrat meneruskan sumbangan sebanyak AS$100,000 kepada Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN bagi Pengurusan Bencana (Pusat AHA) bagi memperkukuh peranan pusat berkenaan dalam penyelarasan bantuan bencana serantau.

“Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN dan Pusat AHA untuk memperkukuh kesiapsiagaan serta mempercepat penyaluran bantuan.

“Komitmen yang kita persetujui di peringkat serantau ini mesti diterjemahkan kepada tindakan bersama, dengan berkongsi maklumat risiko lebih awal menyelaras persediaan antara negara dan menggerakkan bantuan segera apabila diperlukan,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.