
PUTRAJAYA, 25 November – Lebih 700 individu telah menjalani perintah khidmat masyarakat menerusi pelaksanaan tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan membuang sampah kecil oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
- SWCorp telah mengeluarkan lebih 18,000 kompaun bagi kesalahan membuang sampah kecil.
- Perintah khidmat masyarakat bertujuan meningkatkan kesedaran sivik dan memelihara kebersihan kawasan awam.
- Pesalah menjalankan aktiviti seperti menyapu jalan serta membersihkan longkang dan tandas, bagi membentuk masyarakat lebih bertanggungjawab.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata setakat ini SWCorp telah mengeluarkan lebih 18,000 kompaun berkaitan kesalahan berkenaan.
Beliau berkata pelaksanaan perintah itu antara usaha meningkatkan kesedaran sivik masyarakat, selain memastikan kebersihan kawasan awam terus terpelihara.
“Setiap pembaharuan dasar yang kita usahakan mesti membawa perubahan nyata yang dapat dirasai, disentuh, dihidu dan dilihat oleh lapisan masyarakat. Semua dasar mesti diterjemahkan kepada tindakan dan realiti untuk rakyat merasai dan melihatnya,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Persidangan dan Pameran Pengurusan Sisa Pepejal Mampan 2026 (SWAM 2026) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
Antara aktiviti khidmat masyarakat yang dilaksanakan termasuk menyapu jalan, membersihkan longkang dan tandas.
Beliau berkata, usaha berterusan itu diharap dapat membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran.