
KUALA LUMPUR, 30 Julai – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) diharap dapat menjadi pengajaran dalam memperkukuh tadbir urus institusi itu agar terus cemerlang pada masa hadapan.
- Penemuan RCI membolehkan kelemahan TH dikesan awal dan langkah pemulihan dilaksanakan.
- TH hampir kecundang akibat kecuaian, ketelanjuran, tamak dan nafsu serakah.
- RCI mendapati penyata 2017 salah: sepatutnya rugi RM1.4 bilion, bukan keuntungan dilaporkan RM3.4 bilion.
- Laporan kenal pasti kelemahan tadbir urus: kuasa menteri luas, pertindihan peranan lembaga dan pengaruh politik membimbangkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasil penemuan dalam laporan berkenaan membolehkan kelemahan yang hampir menjejaskan kedudukan TH dikesan lebih awal sebelum langkah pemulihan dilaksanakan.
“TH. Gedung mewah, institusi yang punya sejarah gemilang, diusulkan oleh seorang pejuang, pemikir, sarjana ulung, Profesor Diraja Ungku Aziz, dan mencatat prestasi gemilang, memberi khidmat kepada ratusan ribu jemaah.
“Tetapi hampir kecundang kerana kecuaian, tidak menjaga institusi termasuk aspek kewangannya kerana ketelanjuran, tamak haloba dan tarikan nafsu serakah yang memusnahkan.
“Alhamdulillah, dapat dikesan awal dan dipulihkan. Dan saya yakin institusi TH itu akan terus cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat Baharu Maybank di sini, hari ini.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan penubuhan RCI bagi menyiasat isu berkaitan pengurusan TH, dengan laporan berkenaan dijangka menjadi asas kepada perbahasan dalam sidang khas Parlimen pada 11 Ogos ini.
Laporan RCI itu adalah mengenai siasatan berhubung isu pengurusan dan operasi Lembaga TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 dengan setebal 211 halaman.
Antara dapatan utama suruhanjaya itu TH sepatutnya merekodkan kerugian sebanyak RM1.4 bilion pada 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan dalam penyata kewangannya.
RCI turut mengenal pasti beberapa kelemahan dalam aspek tadbir urus, termasuk kuasa menteri yang terlalu luas dalam proses pelantikan, pertindihan peranan antara lembaga pengarah dengan pihak pengurusan, serta kebimbangan terhadap pengaruh politik dalam pentadbiran institusi itu.