Mahasiswa UPSI raih tempat ketiga Kejohanan Adobe, bersaing 45 negara

Muhammad Fawwaz Haiqal Mohd Fuaad membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah USD2,000./ UPSI

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Muhammad Fawwaz Haiqal Mohd Fuaad, muncul pemenang tempat ketiga dunia dalam Kejohanan Dunia Adobe Certified Professional (ACP) 2026 yang berlangsung di Anaheim, California, Amerika Syarikat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menewaskan lebih 200 peserta dari 45 negara, menunjukkan kebolehan reka bentuk digital bertaraf antarabangsa.
  • Membawa pulang hadiah wang tunai USD2,000 sebagai pengiktirafan pencapaian dalam pertandingan.
  • Kontinjen Malaysia catat pencapaian terbaik dengan tiga pengiktirafan, termasuk People’s Choice dan tempat keempat.

Pelajar Program Pendidikan (Teknologi Maklumat), Fakulti Komputeran dan META Teknologi (META) UPSI itu, bersaing dengan 203 peserta dari 45 buah negara.

Kejayaan itu membolehkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah USD2,000.

UPSI dalam satu kenyataan memaklumkan, pertandingan anjuran Certiport International itu merupakan antara kejohanan pensijilan profesional paling berprestij di dunia.

“Pertandingan menguji kemahiran peserta menghasilkan reka bentuk poster kreatif menggunakan perisian Adobe Photoshop, Illustrator dan InDesign.

“Muhammad Fawwaz dibimbing oleh pensyarah Jabatan Sains Komputer dan Teknologi Digital, Fakulti META, Ahmad Nurzid Rosli,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, kejayaan Muhammad Fawwaz bukan sahaja membuktikan keupayaan luar biasanya dalam bidang reka bentuk digital, malah mengangkat nama UPSI dan Malaysia sebagai antara negara yang mampu melahirkan bakat digital bertaraf dunia.

“UPSI akan terus melahirkan bakat digital bertaraf antarabangsa melalui latihan dan pensijilan profesional.

“Kami berharap lebih banyak institusi bersama-sama memperkukuh pembangunan bakat digital demi menjadikan Malaysia sebagai antara peneraju kreativiti dan inovasi digital di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kontingen Malaysia, Natalie Sit menyifatkan edisi 2026 sebagai pencapaian terbaik negara dalam sejarah penyertaan di Kejohanan Dunia ACP.

Katanya, buat pertama kali Malaysia meraih tiga pengiktirafan utama menerusi kejayaan Muhammad Fawwaz di tempat ketiga, manakala Muhammad Nafiz Asyraaf Mohd Nazrin dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak meraih tempat keempat serta anugerah People’s Choice.

“Selain tempat ketiga oleh Muhammad Fawwaz Haiqal, Malaysia meraih tempat keempat dan People’s Choice Awards menerusi Muhammad Nafiz Asyraaf Mohd Nazrin daripada Universiti Teknologi MARA Sarawak.

UPSI memaklumkan edisi kejohanan kali ini menjadi tahun kelima kontinjen Malaysia mencatatkan keputusan podium pada Kejohanan Dunia ACP yang amat berprestij.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.