
KUALA LUMPUR, 30 Julai – Kerajaan Pahang mengesan kewujudan sindiket penipuan melibatkan urusan permohonan tanah di daerah Bentong yang memperdaya orang ramai dengan tawaran pemberimilikan tanah secara tidak sah.
- Sindiket menawar khidmat pemberimilikan tanah secara tidak sah, meminta bayaran dan mengarahkan mangsa menandatangani dokumen.
- Kerajaan negeri tidak melantik ejen luar; akan ambil tindakan undang-undang tegas terhadap penyalahgunaan nama kerajaan.
- Jangan buat pembayaran atau tandatangan tanpa pengesahan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian atau Pejabat Daerah dan Tanah; lapor pihak berkuasa jika ditipu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sindiket berkenaan menawarkan khidmat menguruskan pemberimilikan tanah dengan meminta bayaran serta mengarahkan mangsa menandatangani dokumen sebelum proses sebenar dilaksanakan.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah melantik mana-mana individu, ejen atau syarikat luar bagi menguruskan pemberimilikan tanah, selain daripada saluran rasmi yang ditetapkan oleh undang-undang.
“Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba memperdaya rakyat atau menyalahgunakan nama kerajaan negeri.
“Tindakan undang-undang tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat,” katanya menerusi kenyataan.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang bayaran, menandatangani dokumen atau menjalankan urusan berkaitan tanah tanpa mendapatkan pengesahan daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang atau Pejabat Daerah dan Tanah yang berkenaan.
Orang ramai yang merasakan diri mereka menjadi mangsa penipuan digesa membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Kerajaan Pahang kekal komited memastikan setiap urusan pentadbiran tanah dilaksanakan secara telus, berintegriti dan mematuhi undang-undang.
“Semak dahulu, jangan mudah percaya dan jangan sesekali menjadi mangsa penipuan,” katanya lagi.