Latif Romly sempurnakan legasi, rangkul emas Komanwel

Foto BERNAMA

GLASGOW, 30 Julai – Dari pentas serantau hingga temasya sukan terbesar dunia, jaguh lompat jauh para negara Datuk Abdul Latif Romly kini boleh berbangga apabila muncul antara atlet para Malaysia paling berjaya selepas menakluk semua kejohanan utama sepanjang kariernya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Emas lompat jauh T20 Komanwel Glasgow 2026 melengkapkan koleksi gelaran utama atlet itu.
  • Penantiannya selama 12 tahun berakhir; beliau tulis 'misi tercapai' di Instagram.
  • Menyumbang emas kelima Malaysia di Glasgow dengan lompatan 7.17 meter.
  • Koleksi karier: dua emas Paralimpik, lima gelaran dunia, tiga emas Para Asia, empat emas Para ASEAN.

Pingat emas acara lompat jauh T20 lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 di sini menjadi pelengkap kepada koleksi kejuaraan antarabangsa yang dibinanya sejak lebih sedekad lalu.

Kejayaan itu menyaksikan Abdul Latif melengkapkan koleksi gelaran di Sukan Para ASEAN, Sukan Para Asia, Kejohanan Dunia, Sukan Paralimpik dan kini Sukan Komanwel.

Abdul Latif menyifatkan emas yang dimenanginya di Glasgow sebagai penamat kepada penantian selama 12 tahun untuk melengkapkan koleksi gelaran utama berkenaan.

“Misi untuk melengkapkan title gold medal tercapai. 12 tahun menunggu untuk melengkapkan semua title,” tulis pemenang emas dua kali Sukan Paralimpik itu menerusi hantaran Instagram hari ini.

Abdul Latif menghadiahkan pingat emas kelima kontinjen negara selepas menjuarai acara lompat jauh T20 lelaki dengan catatan 7.17 meter (m) di Stadium Scotstoun, Selasa lepas.

Kejayaan itu bukan sahaja membantu Malaysia mencapai sasaran lima emas di Glasgow, malah mengukuhkan status atlet kelahiran Perlis berusia 29 tahun itu sebagai antara ikon sukan para negara.

Sepanjang kariernya, Abdul Latif turut meraih dua pingat emas Paralimpik, lima gelaran dunia, tiga pingat emas Sukan Para Asia dan empat pingat emas Sukan Para ASEAN.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.