
KUALA LUMPUR, 30 Julai – Pengorbanan berjauhan daripada keluarga selama tiga bulan akhirnya berbaloi buat atlet angkat berat negara, Muhammad Syahmi Nur Ghazali apabila menghadiahkan pingat emas keenam kontinjen Malaysia pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
- Juara kategori 94 kilogram lelaki, meneruskan kecemerlangan skuad angkat berat negara.
- Melakar sejarah sebagai atlet kedua negara memenangi emas kategori berat selepas Hafiz Udin.
- Mendedikasikan kemenangan kepada ibu bapa; berasal daripada keluarga sederhana, mahu membahagiakan mereka.
- Menitip pesanan agar rakyat Malaysia terus berusaha kerana usaha pasti membuahkan hasil, insya-Allah.
Syahmi mencipta kejayaan membanggakan selepas muncul juara bagi kategori 94 kilogram (kg) lelaki, sekali gus meneruskan kecemerlangan skuad angkat berat negara yang kini menjadi penyumbang utama pingat emas di temasya tersebut.
Kejayaan itu disifatkan cukup bermakna buatnya selepas melalui pelbagai cabaran sepanjang tempoh persiapan, termasuk pengorbanan besar tiga bulan berjauhan daripada keluarga demi menggalas cabaran negara.
“Saya nak ucap terima kasih kepada rakyat Malaysia, mak ayah, keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa mendoakan saya.
“Tiga bulan saya tidak berjumpa ibu bapa. Rindu memang teramat, tetapi Alhamdulillah semuanya berbaloi,” katanya.
Lebih manis, kejayaan itu dianggap sebagai bukti segala usaha dan pengorbanan yang dilakukan selama ini tidak sia-sia, selain menjadi pembakar semangat untuk terus melakar kejayaan.
“Saya tinggalkan banyak perkara demi impian ini. Saya cuma mahu buktikan saya mampu berjaya seperti orang lain,” katanya lagi.
Kemenangan tersebut turut melakar sejarah tersendiri apabila Syahmi menjadi atlet kedua negara memenangi emas dalam kategori berat di Sukan Komanwel, selepas Hafiz Udin.
Menurutnya, kategori tersebut bukan mudah untuk ditawan, namun kejayaan itu membuktikan atlet negara mampu bersaing di pentas antarabangsa.
“Kategori ini memang mencabar, tetapi saya bersyukur dapat buktikan kemampuan,” katanya.
Syahmi turut mendedikasikan kemenangan itu buat keluarga tercinta, khususnya ibu bapanya yang menjadi sumber kekuatan sepanjang kariernya.
“Saya bukan daripada keluarga senang. Impian saya hanya mahu membahagiakan mak dan abah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menitipkan pesanan kepada rakyat Malaysia agar tidak pernah berhenti berusaha dalam mengejar impian.
“Harapan tidak akan datang kalau kita tidak mencarinya. Jika kita usaha, insya-Allah akan ada hasil,” katanya.
Pingat emas yang diraih Syahmi merupakan emas kelima buat skuad angkat berat negara dan yang keenam secara keseluruhan untuk Malaysia di temasya berkenaan.