
GEORGE TOWN, 30 Julai – Program Gear Nerds Meetup Vol. 2 berjaya menghimpunkan pemain gitar, pemilik studio, jurutera bunyi, pengedar produk serta peminat teknologi audio dalam usaha memperkukuh komuniti peminat peralatan muzik tempatan.
Acara anjuran NF Venture yang berlangsung di LBS Music World, Pulau Pinang itu menjadi platform interaktif melalui demonstrasi produk, sesi perkongsian ilmu, soal jawab serta peluang kepada pengunjung mencuba pelbagai peralatan muzik digital dan analog.
Antara tarikan utama ialah perkongsian oleh gitaris kumpulan Cromok, Shah Sidious yang berkongsi penggunaan teknologi Kemper Profiler Stage dalam persembahan, selain demonstrasi NUX MG-50Li oleh gitaris Tebabo, Apek.
Wakil NF Venture, Deadzid berkata, penganjuran program itu bertujuan menyediakan ruang kepada pemuzik daripada pelbagai latar belakang untuk berkongsi pengetahuan serta pengalaman berkaitan peralatan muzik.
Menurutnya, kejayaan edisi pertama mendorong penganjur memperluaskan Gear Nerds Meetup ke Pulau Pinang, dengan perancangan untuk membawa program itu ke lebih banyak lokasi di seluruh negara.
Beliau menambah, matlamat utama program bukan sekadar memperkenalkan produk baharu, sebaliknya membina ekosistem yang menghubungkan pemuzik, pemilik studio, pembuat peralatan muzik tempatan dan pengedar dalam satu komuniti yang saling menyokong serta berkongsi ilmu.
Gear Nerds Meetup Vol. 2 dianjurkan dengan sokongan Kementerian Komunikasi, MyCreative Ventures, ZFX Industries dan LBS Music World.