XPDC ‘Kita Peng Yu’ gegar Odeon KL 22 ogos ini

XPDC gegar Odeon KL ogos ini

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Legenda rock tanah air, XPDC Kita Peng Yu bakal menggegarkan pentas Odeon Kuala Lumpur menerusi konsert eksklusif “Headbang Live & Loud” pada 22 Ogos ini, menjanjikan malam penuh adrenalin buat peminat muzik keras.

RINGKASAN BERITA AI
  • XPDC kekal relevan selepas kehilangan Mael; Arry, Jeff, Zuar dan Amy aktif, lebih 60 persembahan setahun termasuk Sabah, Sarawak dan Brunei.
  • Konsert anjuran Rockstation & Event Entertainment menampilkan lagu legenda dan single baharu 'Satu Arah', serta persembahan lebih dua jam.
  • Tetamu khas Yan Lefthanded, Jatt Ali dan Syed Ali bawakan segmen Metal, Tribute dan Metal 60'an; tiket RM98 hingga RM298 dijual dalam talian.

Konsert anjuran Rockstation & Event Entertainment itu dijangka menjadi antara acara rock paling hangat tahun ini dengan persembahan lebih dua jam, menampilkan deretan lagu malar segar serta single terbaharu kumpulan berkenaan, ‘Satu Arah’.

Walaupun kehilangan figura ikonik mereka, Allahyarham Mael, jenama XPDC Kita Peng Yu terus kukuh sebagai antara kumpulan rock paling berpengaruh di negara ini. Kumpulan yang dianggotai Arry (vokal), Jeff (gitar), Zuar (bass) dan Amy (dram) itu kekal relevan dengan lebih 60 persembahan setiap tahun di dalam dan luar negara termasuk Sabah, Sarawak dan Brunei.

Menurut Pengarah Urusan Rockstation & Event Entertainment, Mozylir Moktaruddin, penganjuran konsert tersebut adalah hasil permintaan tinggi peminat yang mahukan persembahan berskala khas daripada kumpulan berkenaan.

“XPDC Kita Peng Yu mempunyai kelompok peminat yang besar dan setia. Kami yakin konsert ini mampu menarik kehadiran peminat dari seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Brunei,” katanya.

Lebih istimewa, konsert berkenaan turut menampilkan tiga ikon rock tanah air sebagai tetamu khas iaitu Yan Lefthanded, Jatt Ali dari Black Dog Bone dan Syed Ali, adik kepada Allahyarham Mael.

Kehadiran mereka bakal menghidupkan tiga segmen eksklusif iaitu Metal, Tribute dan Metal 60’an, sekali gus membawa penonton mengimbau pelbagai era kegemilangan muzik rock tempatan.

Sementara itu, pemain bass XPDC Kita Peng Yu, Zuar berkata, persembahan bertiket memerlukan persiapan rapi bagi memastikan peminat memperoleh pengalaman terbaik.

“Kami beri perhatian kepada setiap aspek termasuk susunan lagu, sistem bunyi dan pencahayaan supaya peminat pulang dengan kepuasan maksimum,” jelasnya.

Pengurus kumpulan, Mohd Yazid Selamat pula optimis konsert tersebut mampu mencipta malam yang penuh tenaga dan nostalgia, selain memberi peluang kepada peminat menyaksikan sesi uji bunyi serta bertemu ahli kumpulan pada hari acara.

Tiket konsert dijual pada harga RM98 hingga RM298 mengikut kategori dan boleh dibeli secara dalam talian atau melalui wakil rasmi.

Dengan gabungan lagu legenda, kemunculan tetamu istimewa serta produksi yang dipertingkatkan, XPDC Kita Peng Yu – Headbang Live & Loud At Odeon KL dijangka menjadi malam yang mengubat rindu peminat setia rock tanah air.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.