Thailand, Malaysia perkukuh kerjasama industri pertahanan

Bendera Malaysia dan Thailand/Foto fail REUTERS

BANGKOK, 30 Julai – Thailand dan Malaysia yang berhasrat untuk mengukuhkan ekosistem pertahanan serantau sedang mempertingkatkan usaha membangunkan industri pertahanan mereka secara bersama menerusi pemindahan teknologi, integrasi rantaian bekalan dan kolaborasi industri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lawatan rasmi Menteri Pertahanan Adul Boonthumjaroen ke Malaysia (13-14 Julai) membincangkan perluasan kerjasama dalam pembuatan dan teknologi pertahanan.
  • Kedua-dua negara bersetuju memperkukuh kerjasama program kenderaan perisai First Win dan meneroka penyelenggaraan pesawat bersama AIROD Sdn Bhd.
  • MoU kerjasama pertahanan dijangka ditandatangani semasa Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan, menyediakan rangka kerja jangka panjang bagi R&D dan kolaborasi industri.

Jurucakap Kerajaan Ratchada Thanadirek berkata komitmen itu ditekankan semasa lawatan rasmi Menteri Pertahanan Leftenan Jeneral Adul Boonthumjaroen ke Malaysia pada 13 dan 14 Julai lepas, menyaksikan kedua-dua pihak berbincang mengenai perluasan kerjasama dalam pembuatan dan teknologi pertahanan.

Ratchada berkata kedua-dua negara turut bersetuju untuk memperkukuh kerjasama sedia ada di bawah program kenderaan perisai beroda “First Win” serta meneroka kerjasama penyelenggaraan pesawat bersama syarikat Malaysia, AIROD Sdn Bhd.

“Inisiatif ini dijangka meningkatkan keupayaan pengeluar pertahanan Thailand, memudah cara pemindahan teknologi serta meluaskan akses ke pasaran antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kerjasama ini juga dijangka melengkapi usaha domestik Thailand untuk memperkukuh industri pertahanannya, meluaskan jalinan industri serantau dan mewujudkan peluang baharu bagi pembangunan teknologi pertahanan termaju.

Ratchada berkata Thailand dan Malaysia turut bersetuju supaya Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan dapat ditandatangani semasa Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Thailand-Malaysia lewat tahun ini.

Beliau berkata MoU berkenaan akan menyediakan rangka kerja jangka panjang bagi kerjasama dalam penyelidikan pertahanan, pembangunan teknologi dan kolaborasi industri antara kedua-dua negara.

Menurut Ratchada, inisiatif bilateral itu menyokong dasar Perdana Menteri Anutin Charnvirakul untuk membangunkan Thailand menjadi pengeluar dan pembangun teknologi pertahanan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada peralatan diimport.

“Kerajaan menggalakkan angkatan tentera memberi keutamaan kepada produk pertahanan buatan Thailand seiring dengan dasar perolehan ofset dan keperluan kandungan tempatan bagi memperkukuh keupayaan domestik serta mempromosikan pemindahan teknologi,” katanya.

Ratchada berkata dasar itu semakin mendapat sambutan susulan kejayaan penganjuran THAIDEF-EX 2026, yang menarik lebih 4,000 pengunjung, menampilkan 112 pameran syarikat Thailand dan menjana sekurang-kurangnya 500 juta baht (kira-kira US$14.86 juta) dalam nilai perniagaan menerusi 53 perkongsian padanan perniagaan. – BERNAMA

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.