Korban tanah runtuh di Pengshui meningkat kepada 51

Kejadian tanah runtuh di wilayah Pengshui, barat daya China pada 17 Julai lepas – Foto AFP

BEIJING, 31 Julai – Angka korban tanah runtuh di di barat daya China pada 17 Julai lepas meningkat kepada 51, manakala 10 lagi masih hilang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beberapa bangunan kediaman di kaki bukit dan sepanjang tebing sungai dihanyutkan oleh tanah dan batu.
  • Operasi mencari dan menyelamat berskala besar selama 325 jam, libatkan lebih 1,080 anggota, penyelam, robot bawah air, letupan dan pengorek tanah.
  • Lebih 1,100 penduduk dipindahkan, bantuan dan pemulihan pascabencana serta pengurusan penempatan semula dan sokongan keluarga sedang dijalankan.

Kejadian itu mengakibatkan beberapa bangunan kediaman di kaki bukit dan sepanjang tebing sungai dihanyutkan timbunan tanah dan batu.

Rakaman media rasmi China menunjukkan longgokan bongkah besar batu dan tanah menimbus kawasan jalan yang menempatkan premis kediaman serta perniagaan, sementara anggota penyelamat digerakkan ke lokasi kejadian.

Pihak berkuasa Pengshui menerusi kenyataan di media sosial memaklumkan, setakat ini 51 mangsa disahkan maut, manakala usaha mengesan 10 lagi mangsa yang masih hilang diteruskan.

“Lebih 1,100 penduduk berjaya dipindahkan ke kawasan selamat, manakala 10 mangsa berjaya diselamatkan, termasuk tiga yang menerima rawatan di hospital sebelum dibenarkan pulang,” menurut kenyataan itu lagi.

Operasi mencari dan menyelamat berskala besar yang dilakukan selama 325 jam membabitkan lebih 1,080 anggota penyelamat berdepan pelbagai cabaran termasuk bongkah batu besar, perubahan ketinggian muka bumi, ruang yang sempit serta cuaca panas.

Khidmat penyelam dan robot bawah air turut digunakan untuk mencari mangsa dalam sungai, manakala operasi meletupkan bongkah batu dan mengorek lebih 330,000 meter padu tanah serta runtuhan turut dijalankan.

Minggu lalu, pasukan penyelamat memaklumkan bahawa tiada lagi tanda-tanda kehidupan dikesan di kawasan bencana.

“Usaha membantu keluarga mangsa, menyalurkan bantuan, serta mengurus penempatan semula dan pemulihan pascabencana sedang dilaksanakan secara teratur, ” menurut pihak berkuasa.

Bencana itu berlaku kurang dua minggu selepas satu lagi kejadian tanah runtuh di wilayah Gansu, barat laut China, menimbus 33 orang dan mengorbankan 21 mangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.