Hamas hampir capai persetujuan pelucutan senjata

Foto AFP

BAITULMAQDIS, 31 Julai – Hamas dilaporkan semakin hampir mencapai persetujuan membabitkan pelucutan senjatanya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rundingan mengenai pindaan pelan sedang berlangsung dengan pengantara Mesir, Qatar dan Turkiye di Kaherah.
  • Pelucutan senjata kekal isu paling rumit dalam usaha gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza.
  • Pelan 20 perkara Presiden AS cadangkan NCAG teknokrat ambil alih pentadbiran dan pelucutan senjata berperingkat.
  • Pelan tindakan mahu musnahkan terowong dan depot, letakkan semua senjata bawah kawalan NCAG disokong Pasukan Penstabilan Antarabangsa dan mekanisme pengesahan.

Sumber kumpulan pejuang Palestin itu bagaimanapun memaklumkan, mereka masih dalam proses membuat beberapa pindaan terhadap cadangan berkenaan.

Ketika ini, rundingan berhubung perkara tersebut sedang berlangsung dengan pihak pengantara iaitu Mesir, Qatar dan Turkiye di Kaherah.

Isu pelucutan senjata kekal menjadi antara perkara paling rumit dalam usaha mencapai perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hamas di Gaza, yang berkuat kuasa sejak Oktober lepas.

Bawah pelan damai 20 perkara bagi Gaza yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, fasa kedua gencatan senjata memperuntukkan pelucutan senjata Hamas serta pengunduran secara berperingkat tentera Israel dari wilayah itu.

Pelan itu turut mencadangkan Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza (NCAG) yang dianggotai teknokrat Palestin mengambil alih pentadbiran harian Gaza sepanjang tempoh peralihan selepas perang.

“Pelaksanaan pelan itu terus diperkemaskan menerusi pelan tindakan yang disifatkan seimbang dan pragmatik, dengan semua senjata dilucutkan secara berperingkat sebelum kuasa pentadbiran diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan teknokrat, ” menurut seorang sumber diplomatik.

Sumber yang enggan dikenali itu juga memaklumkan, tiada pengecualian akan diberikan terhadap mana-mana jenis senjata atau individu, dengan prinsip ‘satu pihak berkuasa, satu undang-undang dan satu senjata’ menjadi asas pelaksanaannya.

Beliau berkata, pelan tindakan itu turut merangkumi pemusnahan semua terowong, depot simpanan senjata dan kemudahan pengeluaran senjata.

“Semua senjata, sama ada senjata berat atau ringan, akan berada bawah kawalan penuh NCAG dengan penyelarasan serta sokongan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF),” tambahnya.

ISF merujuk kepada sebuah pasukan dicadangkan terdiri daripada anggota tentera pelbagai negara dan akan beroperasi bawah Lembaga Keamanan yang diwujudkan menerusi pelan damai Presiden Trump.

Selain itu, satu mekanisme pengesahan akan diwujudkan bagi memastikan setiap pihak mematuhi perjanjian yang dipersetujui.

Sementara itu, sumber Hamas memberitahu AFP, kumpulan itu kini menunggu maklum balas Israel terhadap pindaan yang dikemukakan kepada pihak pengantara. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.