
BUKIT KAYU HITAM, 30 Julai – Kedudukan Kedah yang berkongsi sempadan antarabangsa sepanjang kira-kira 100 kilometer dengan Thailand menjadikan negeri itu antara kawasan berisiko tinggi terhadap kegiatan penyeludupan dadah, khususnya dadah sintetik.
- Agensi KDN seperti AKPS, PDRM dan APMM memperketat kawalan di sempadan bagi membendung aktiviti penyeludupan dadah.
- Kira-kira 640,800 belia usia 15 hingga 30 di Kedah terdedah kepada dadah sintetik baharu melalui rokok elektronik atau vape.
- Sehingga Mac 2026, 100,882 kes penyalahgunaan direkod; 73% melibatkan dadah sintetik, Kedah catat 11,524 kes suku pertama 2026.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, faktor geografi itu menyebabkan kawalan di pintu masuk negara perlu dipertingkat secara berterusan bagi mengekang kemasukan bahan terlarang berkenaan.
Menurut beliau, agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), sentiasa memperketat kawalan di kawasan sempadan bagi membendung aktiviti penyeludupan.
“Selain ancaman di sempadan fizikal, kira-kira 640,800 belia berusia antara 15 hingga 30 tahun di Kedah turut berdepan risiko terdedah kepada dadah sintetik jenis baharu yang disalahgunakan melalui rokok elektronik atau vape.
“Ancaman dadah sintetik merupakan cabaran baharu yang memerlukan tindakan bersepadu daripada semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah: Komuniti FELDA Sihat Kedah Sejahtera di FELDA Bukit Tangga, di sini, hari ini.
Datuk Seri Saifuddin turut mendedahkan sehingga Mac 2026, sebanyak 100,882 kes melibatkan penagih dan penyalahgunaan dadah direkodkan di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 73,611 kes atau 73 peratus membabitkan penyalahgunaan dadah sintetik.
Beliau berkata, dalam kalangan belia pula, 22,620 orang atau 84.5 peratus daripada kumpulan yang dikesan menagih menggunakan dadah jenis Amphetamine-Type Stimulants (ATS).
Di Kedah, katanya, seramai 11,524 individu direkodkan terlibat dalam penyalahgunaan dadah bagi suku pertama 2026, menurun berbanding 12,259 orang yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.
Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah merupakan inisiatif Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang dilaksanakan di seluruh negara sebagai usaha memperkukuh Program Kampung Angkat Bebas Dadah.
Inisiatif itu bertujuan menyatukan komuniti setempat bersama agensi kerajaan dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah secara berterusan dari peringkat akar umbi.