Pendedahan RCI TH bukan politik picisan – PM

Foto FB ANWAR IBRAHIM

PORT DICKSON, 30 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) bukan isu tindakan politik picisan sebaliknya amanah dan tanggungjawab memelihara kepentingan jutaan umat Islam negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Laporan RCI mendedahkan teguran dan amaran Bank Negara pada 2014 dan 2017 terhadap keadaan kewangan TH, tetapi tidak diambil tindakan sewajarnya.
  • RCI mencadangkan audit forensik untuk meneliti keputusan pelaburan lalu yang menyebabkan penurunan nilai aset TH secara teruk.
  • Persidangan khas Parlimen pada 11 Ogos dibuka untuk membahaskan laporan RCI dan menjelaskan perkara secara terbuka berdasarkan fakta.

Beliau berkata laporan berkenaan perlu dilihat secara serius kerana ia antara lain mendedahkan teguran dan amaran yang pernah diberikan Bank Negara Malaysia pada 2014 dan 2017 berhubung keadaan kewangan TH, namun tidak diambil tindakan sewajarnya.

“Ini bukan isu politik. Ini soal amanah, satu tanggungjawab kita memelihara kepentingan umat,” katanya ketika berucap pada program Munajat Perdana di Dewan Orang Ramai Linggi, yang turut dihadiri Menteri Besar yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi Datuk Seri Aminuddin Harun di sini.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata laporan RCI itu bukan dihasilkan oleh kerajaan pimpinan beliau.

“Keputusan kerajaan memberi ruang kepada semua Ahli Parlimen membahaskan laporan berkenaan pada 11 Ogos ini membolehkan perkara itu dijelaskan secara terbuka berdasarkan fakta dan kandungan laporan,” katanya.

Datuk Seri Anwar hari ini dilaporkan berkata sesi persidangan khas untuk membahaskan dapatan Laporan RCI mengenai TH akan diadakan pada 11 Ogos ini selepas perbincangan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

Laporan RCI mengenai TH yang diterbitkan semalam mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti bagaimana keputusan pelaburan lepas dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.

Datuk Seri Anwar berkata kerajaan juga sebelum ini mengambil langkah menyusun semula aset TH dengan memindahkan syarikat mengalami kerugian ke Kementerian Kewangan bagi melindungi kepentingan pencarum manakala pengurusan dan syarikat TH yang berdaya maju kekal di bawah institusi itu.

Beliau berkata kerajaan tidak berpolitik mengenai isu berkenaan, sebaliknya memastikan setiap dakwaan yang mempunyai asas disiasat oleh pihak berkuasa dan tindakan undang-undang diambil jika terdapat kesalahan.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.