
SHAH ALAM, 30 Julai – Selangor berhasrat memperluaskan penglibatan golongan muda dalam Askar Wataniah menerusi kerjasama strategik bersama Rejimen 502.
- Pertemuan dengan Rejimen 502 akan merangka program khas memberi peluang lebih ramai anak muda menyertai Askar Wataniah.
- Cara penyertaan mudah; maklumat tersedia melalui media sosial, laman sesawang Askar Wataniah atau hubungi Exco berkaitan.
- Penglibatan PeBS dijangka melahirkan pemimpin muda berdisiplin tinggi, bersemangat patriotik dan membina jati diri serta kepimpinan.
Usaha itu dilihat mampu membentuk generasi belia yang lebih berdisiplin, berintegriti dan berdaya tahan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Rejimen 502 bagi merangka program khas yang memberi peluang kepada lebih ramai anak muda menyertai Askar Wataniah.
“Saya juga berharap anak muda di luar sana, khususnya di Selangor, dapat merebut peluang ini untuk menyertai Askar Wataniah.
“Cara penyertaannya juga tidak begitu sukar. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat melalui media sosial atau laman sesawang Askar Wataniah, ataupun berhubung terus dengan saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perbarisan Penutup Kursus Bakal Pegawai Sukarela Decentralised Siri 2/2026 di Kem Askar Wataniah Rejimen 502, Sungai Buloh, hari ini.
Menurut beliau, program itu akan melibatkan Penggerak Belia Selangor (PeBS) sebagai platform melahirkan pemimpin muda yang memiliki disiplin tinggi serta semangat patriotisme.
Terdahulu, Mohd Najwan yang menerima kenaikan pangkat daripada Prebet kepada Lans Koperal pada April lalu turut menamatkan kursus intensif selama dua minggu.
Beliau menyifatkan latihan yang diikuti memberi pendedahan menyeluruh dalam aspek kepimpinan, undang-undang tentera serta latihan fizikal, sekali gus memperkukuh keyakinan untuk terus menggalakkan penyertaan belia dalam pasukan Askar Wataniah.
Kerajaan negeri berharap kerjasama bersama Rejimen 502 dapat membuka lebih banyak ruang kepada golongan muda menyumbang kepada pertahanan negara sambil membina jati diri, kepimpinan dan semangat cintakan tanah air.