
SEPANG, 30 Julai – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperkukuh persiapan penganjuran Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menerusi penubuhan dua jawatankuasa khas bagi memastikan perlumbaan bertaraf dunia itu berlangsung lancar pada 2 hingga 4 Oktober depan.
- Pemeriksaan teknikal FIA mendapati keadaan trek memuaskan, hanya beberapa kerja naik taraf diperlukan bagi memenuhi spesifikasi FIA.
- SIC dijangka ditutup kepada orang awam bermula 7 September untuk penyelenggaraan, penambahbaikan dan ujian akhir sebelum perlumbaan.
- KBS merancang melibatkan kira-kira 1,000 belia termasuk pelajar IPT sebagai sukarelawan dan menganjurkan Karnival Rakyat untuk peniaga tempatan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, Jawatankuasa Induk yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN) akan menyelaras aspek keselamatan, protokol serta kerjasama strategik antara kementerian dan agensi berkaitan.
Katanya, Jawatankuasa Teknikal di peringkat KBS pula bertanggungjawab memantau pelaksanaan persiapan mengikut garis masa ditetapkan, termasuk kerja naik taraf litar, pengurusan pengangkutan dan kesiapsiagaan operasi.
“Kita mempunyai tempoh yang sangat singkat, iaitu kira-kira dua bulan untuk memastikan semuanya berada dalam keadaan baik. Bukan sahaja litar, tetapi juga aspek protokol, keselamatan, pengangkutan serta usaha meningkatkan sektor pelancongan negara memerlukan penyelarasan menyeluruh,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke SIC hari ini.
Sementara itu, Dr Mohammed Taufiq berkata pemeriksaan pasukan teknikal Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) minggu lalu mendapati keadaan trek berada pada tahap memuaskan tanpa sebarang isu besar.
Beliau berkata, SIC hanya memerlukan beberapa kerja penambahbaikan dan naik taraf bagi memenuhi spesifikasi ditetapkan FIA.
“Tidak ada sebarang red flag. Secara keseluruhan kita berada di landasan yang tepat dan hanya memerlukan sedikit kerja penambahbaikan serta naik taraf bagi memenuhi spesifikasi FIA,”katanya.
Menurutnya, SIC dijangka ditutup kepada orang awam bermula 7 September ini bagi memberi laluan kepada kerja penyelenggaraan, penambahbaikan serta ujian akhir sebelum perlumbaan berlangsung.
Dalam pada itu, KBS turut merancang melibatkan kira-kira 1,000 belia termasuk pelajar institusi pengajian tinggi sebagai sukarelawan bagi membantu kelancaran penganjuran F1 berkenaan.
Selain aksi perlumbaan, kementerian turut menyediakan Karnival Rakyat sepanjang tempoh acara berlangsung bagi membuka ruang kepada peniaga tempatan menjana pendapatan menerusi jualan makanan, kraftangan dan barangan cenderamata yang mengetengahkan identiti Malaysia.