Hari Pahlawan: 500 hadir majlis bacaan Yasin, tahlil kenang jasa wira negara

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Kira-kira 500 orang menghadiri Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat di Masjid Negara hari ini sempena dengan Sambutan Hari Pahlawan 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Majlis dianjurkan untuk mengenang jasa dan mendoakan kesejahteraan anggota keselamatan negara yang berkorban demi keamanan dan kedaulatan.
  • Acara dimulakan dengan bacaan Yasin, diikuti tahlil serta doa selamat yang dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Dr. Amru Alhaz Adnan.
  • Majlis anjuran Jabatan Perdana Menteri menghimpunkan agensi keselamatan termasuk ATM, PDRM, JBPM dan Jabatan Imigresen.
  • Sambutan kemuncak esok di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya; Hari Pahlawan disambut 31 Julai setiap tahun sejak 1968 secara bergilir oleh ATM dan PDRM.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, penganjuran majlis itu bertujuan mengenang jasa serta mendoakan kesejahteraan anggota keselamatan yang berkorban demi keamanan dan kedaulatan negara.

“Sebagai penghargaan kepada wira-wira negara, sama ada yang masih berjuang mahupun yang telah kembali ke rahmatullah, semoga roh mereka dirahmati dan diberi keberkatan oleh Allah SWT.

“Insya-Allah, esok kita akan mengadakan sambutan Hari Pahlawan di Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis yang dimulakan dengan bacaan Yasin, diikuti tahlil dan doa selamat yang dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Dr. Amru Alhaz Adnan.

Majlis anjuran Jabatan Perdana Menteri itu menghimpunkan pelbagai agensi keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Imigresen Malaysia serta warga Jabatan Perdana Menteri.

Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman dan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Sambutan kemuncak Hari Pahlawan 2026 akan berlangsung esok di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya.

Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai setiap tahun bagi memperingati jasa dan pengorbanan anggota keselamatan negara, serta dianjurkan secara bergilir-gilir oleh ATM dan PDRM sejak tahun 1968.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.