
CYBERJAYA, 30 Julai – Sebanyak 77 menara komunikasi baharu akan dibina di sepanjang lebuh raya seluruh negara bagi mengatasi masalah liputan telekomunikasi, sekali gus memperkukuh akses internet dan menyokong pembangunan lebuh raya pintar.
- MoU antara MCMC dan LLM untuk menambah baik liputan telekomunikasi di lebuh raya melalui pelaksanaan projek telekomunikasi.
- Kerjasama dilihat sebagai pelaburan strategik meningkatkan keselamatan pengguna, akses kecemasan, navigasi masa nyata dan mempercepat transformasi digital Malaysia MADANI.
- Starlink bercadang perkenal Direct to Device, dan inisiatif menyokong pembangunan lebuh raya pintar termasuk sistem ITS serta MLFF.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) hari ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pembinaan menara berkenaan akan melibatkan kawasan sepanjang hampir 50 kilometer yang dikenal pasti mengalami masalah liputan telekomunikasi.
Menurut beliau, kerjasama itu bukan sekadar melaksanakan projek telekomunikasi, malah merupakan pelaburan strategik yang mampu meningkatkan keselamatan pengguna lebuh raya, merancakkan produktiviti ekonomi serta mempercepat transformasi digital negara selaras aspirasi Malaysia MADANI.
“Kerjasama antara MCMC dan LLM benar-benar mengangkat semangat ‘Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet’. Ia bukan sahaja meningkatkan liputan rangkaian, malah memastikan pengguna lebuh raya menikmati perjalanan yang lebih selamat melalui akses kepada komunikasi kecemasan, aplikasi navigasi dan maklumat trafik secara masa nyata,” katanya ketika berucap pada majlis pemeteraian MoU di Auditorium MCMC, di sini.
Datuk Seri Fahmi berkata, MCMC telah memulakan pelaksanaan projek itu menerusi pelawaan yang dikeluarkan pada 15 Mei lalu bagi menambah baik liputan internet di beberapa lebuh raya utama yang dikenal pasti memerlukan penambahbaikan.
Antara lebuh raya yang terlibat ialah Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), West Coast Expressway (WCE) dan Lebuhraya Pan Borneo.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan syarikat penyedia internet satelit Starlink berhasrat memperkenalkan teknologi Direct to Device (D2D) atau Direct to Cell di Malaysia.
Menurutnya, teknologi itu membolehkan telefon bimbit berhubung terus dengan satelit tanpa bergantung kepada menara telekomunikasi, sekali gus berpotensi meningkatkan liputan komunikasi terutama di kawasan yang sukar mendapat isyarat.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, MoU berkenaan menjadi asas kepada pembangunan ekosistem lebuh raya pintar negara yang akan menyokong pelaksanaan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) dan Sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (Multi-Lane Fast Flow, MLFF).
Terdahulu, kedua-dua menteri menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Pengerusi LLM, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Azman Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, serta Ketua Pengarah LLM Datuk Mohd Hadzmir Yusoff.