
ASHGABAT, 20 Jun – Sebanyak 12 dokumen kerjasama dimeterai sepanjang lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkmenistan yang berakhir semalam.
- Hubungan persahabatan diperkukuh, komitmen membawa kerjasama dua hala ke tahap lebih tinggi demi manfaat bersama.
- Sektor tenaga kekal tunjang, termasuk pengembangan operasi PETRONAS melalui Perjanjian Perkongsian Pengeluaran bagi blok eksplorasi baharu.
- Kesepakatan untuk meluaskan skop kerjasama kepada sains, teknologi, pendidikan, semikonduktor dan kecerdasan buatan menggunakan pendekatan Selatan-Selatan.
Lawatan atas jemputan Presiden Serdar Berdimuhamedov itu memperlihatkan hubungan persahabatan antara kedua-dua negara terus diperkukuh, selari komitmen bersama ke arah kerjasama komprehensif yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Datuk Seri Anwar tiba di Ashgabat pada 18 Jun lalu selepas menamatkan lawatan kerjanya ke Kazan, Rusia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia.
Pada hari kedua lawatan, beliau mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Berdimuhamedov sebelum kedua-dua pemimpin mempengerusikan mesyuarat dua hala yang menyentuh pelbagai aspek kerjasama strategik.
Hasil perbincangan itu, kedua-dua negara menyatakan komitmen untuk membawa hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi, dengan sektor tenaga kekal menjadi tunjang utama kerjasama.
Perdana Menteri berkata pendekatan baharu perlu diterapkan dalam kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
“Kerjasama kita juga mesti menggunakan pendekatan baharu yang berbeza daripada pengalaman terdahulu dengan syarikat multinasional (MNC) atau pelabur antarabangsa. Kita mengetengahkan pendekatan kerjasama Selatan-Selatan dengan menekankan konsep bekerja sebagai satu pasukan.
“Dalam masa yang sama, mereka perlu menerima baik ruang dan peluang yang diberikan serta memberikan sumbangan secara pantas, efektif dan berterusan demi menjayakan matlamat bersama.”
Lawatan sulung Datuk Seri Anwar ke Turkmenistan turut signifikan kerana berlangsung ketika PETRONAS meraikan ulang tahun ke-30 operasinya di negara itu, sekali gus mencerminkan hubungan ekonomi yang telah terjalin kukuh sejak 1996.
Dalam perkembangan berkaitan, tiga perjanjian baharu dimeterai, termasuk Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSA) bagi Blok Luar Pesisir 19 dan 20 yang menandakan pengembangan operasi PETRONAS ke kawasan eksplorasi baharu di Turkmenistan.

Kedua-dua pemimpin turut berpandangan bahawa hubungan ekonomi Malaysia dan Turkmenistan mempunyai potensi besar untuk terus berkembang dan perlu diperkasakan berasaskan prinsip kesaksamaan serta manfaat bersama.
Menurut Datuk Seri Anwar, kedua-dua pihak bersetuju untuk memperluaskan skop kerjasama melangkaui sektor minyak dan gas kepada bidang baharu yang berpotensi tinggi.
“Daripada perbincangan empat mata dan mesyuarat dua hala, terdapat penekanan untuk memperluaskan jaringan kerjasama daripada minyak dan gas asli kepada bidang lain termasuk sains, teknologi, penyelidikan, pendidikan, semikonduktor serta kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Komitmen itu diterjemahkan menerusi pertukaran beberapa dokumen kerjasama melibatkan sektor pengangkutan udara, diplomasi, sains dan pendidikan.
Perkembangan tersebut menandakan Malaysia dan Turkmenistan kini memasuki fasa baharu hubungan dua hala yang tidak lagi tertumpu kepada sektor tenaga semata-mata.
Dengan kesediaan Turkmenistan membuka lebih banyak ruang kerjasama, Malaysia berpeluang memperkukuh kehadirannya di Asia Tengah, khususnya dalam sektor strategik yang menjadi kekuatan negara.